Abu Mayat Pengganas Komunis: PH Tak Peduli Perasaan Anggota Keselamatan, Sensitiviti Rakyat

PASIR PUTEH, 30 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang langsung tidak peduli sensitiviti rakyat termasuk perasaan anggota keselamatan negara dek kerana kelemahan pentadbiran mereka.

Ini katanya, termasuklah isu membawa masuk abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang benar-benar mengguris perasaan majoriti rakyat khususnya pasukan tentera dan polis negara ini.

“Kenapa saya mengumumkan bahawa abu mayat itu tidak dapat diterima? Bukan saya dan kerajaan ketika itu benci dengan Chin Peng kerana dia Cina. Kononnya apabila dijawab oleh kepimpinan sekarang adakah kita menentang abu mayat dibawa, ditabur di tempat asalnya di banjaran Titiwangsa kerana dia Cina.

“Bukan kerana itu, kita tidak ada semangat perkauman itu. Kononnya kenapa Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Muhammad (Pengerusi PKM) diizinkan untuk balik, kenapa tidak Chin Peng. Ini soal lain, ini bukan soal bangsa.

“Kita menentang abu mayat Chin Peng untuk dibawa masuk kerana lebih 10 ribu nyawa tentera dan polis telah terkorban ketika Chin Peng menjadi ketua pengganas Komunis Malaya ketika itu. Berapa ramai yang menjadi balu, menjadi anak yatim, ibu bapa yang kehilangan anak, rakyat biasa yang telah terbunuh. Kita menentang kerana kita mahu supaya tentera, polis dan lain-lain yang terkorban dihargai dan perasaan keluarga mereka mesti didokong oleh UMNO dan PAS dan parti-parti lain dalam Muafakat Nasional,” tegasnya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Kelantan 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad, Datuk Rosni Sohar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Ketua Muslimat PAS Kelantan yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) jelasnya lagi telah bersepakat membuat keputusan demi keharmonian dan kesejahteraan negara tetap terpelihara.

“Pada tahun 2014 ketika itu saya menjadi Menteri Dalam Negeri apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan supaya abu Chin Peng tidak diizinkan dibawa ke tempat kelahirannya di Sitiawan, Perak, saya telah membawa isu itu untuk mendapatkan keputusan Jemaah Menteri.

“Jemaah menteri ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memutuskan kita tidak benarkan abu mayat dibawa apatah lagi mayatnya atau orangnya biarpun kita tahu ada perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya,” tambahnya.

Ulasnya lagi, ia juga sebagai bantahan apabila ada yang mahu mengiktiraf ketua pengganas itu sebagai pejuang kemerdekaan.

“Ini bukan soal bangsa, bagaimana kita terluka. Bukan itu sahaja, apa yang telah berlaku signifikannya cukup banyak bagaimana ada di kalangan kepimpinan parti-parti yang memerintah dalam PH ini mengatakan bahawa Chin Peng adalah pejuang kemerdekaan.

“UMNO dan PAS, BN tidak dapat menerima Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan. Beliau adalah ketua pengganas Komunis di Malaya,” tegasnya lagi.

Kerana itulah katanya, isu abu mayat Chin Peng bukan isu yang ringan dan kecil sebagaimana pandangan pihak yang mempunyai kuasa pada hari ini tetapi ia merupakan isu yang besar di mata rakyat keseluruhannya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit