Agong Rai Peserta Tilawah Pada Majlis Santapan Petang
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-60.
Majlis santapan yang berlangsung di Dewan Santapan Utama Istana Negara di sini, dihadiri 300 peserta dari pelbagai negara termasuk Iran, Amerika Syarikat, Palestin dan Mesir.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.
Pada majlis itu hadirin disajikan dengan klip video bacaan Al-Quran dan persembahan nasyid.
MTHQA ke-60 diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 7 hingga 12 Mei dan melibatkan penyertaan 87 negara termasuk Malaysia.
Sultan Muhammad V akan menyempurnakan majlis penutup dan pengurniaan hadiah kepada peserta MTHQA ke-60 malam esok.