Zaman PH… Bantuan Rakyat Bila Ada Waktu PRK Sahaja – Suraya
TANJUNG PIAI, 14 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah medan terbaik bagi rakyat menunjukkan perasaan tidak setuju kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob.
Sinisnya juga, berkemungkinan rakyat di tempat-tempat lain mengharapkan akan berlakunya PRK di kawasan mereka kerana sudah pasti segala peruntukan kerajaan akan turun secara tiba-tiba dan ‘kebetulan’.
“Datang Zuraida (Zuraida Kamarudin-Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) 13 Okt bagi RM3 juta, Syed Saddiq (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman-Menteri Belia dan Sukan) datang 19 Okt bagi RM4 juta.
“Kemudian Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar) bagi RM0.35 juta pada 15 Okt, Salahuddin Ayub (Menteri Industri Asas Tani) beri RM3 juta pada 20 Okt dan Menteri Besar Johor bagi RM11.2 juta.
“Ini secara ‘kebetulan’. Kalau tiada PRK, dapat tak duit kepada orang Tanjung Piai… jangan harap,” bidasnya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjong Ayer Hitam, Rabu malam.
Hadir sama Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husain; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Presiden Veteran MAYC Kebangsaan, Datuk Nasir Safar.
Dalam ucapannya, Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang menasihatkan pengundi Tanjung Piai agar jangan terpedaya dengan PH yang mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sedangkan semakin jelas kini kerajaan PH didominasi oleh Dap.
Ini kerana katanya, sebagaimana kekalahan yang terjadi kepada BN di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu disebabkan momokan kononnya Tun Dr Mahathir mampu menjaga kepentingan orang-orang Melayu.
“Bukan sebab pembangkang (sebelum PRU-14), sebab orang UMNO percaya Dr Mahathir akan jaga orang Melayu. Undi Melayu UMNO ini yang pergi… bukan undi orang lain.
“Kita gagal lihat Dr Mahathir untuk orang Melayu pada masa itu, tetapi selepas setahun tujuh bulan kita lihat Dr Mahathir 22 tahun lalu bukan Dr Mahathir yang ada hari ini.
“Orang ini telah dipermainkan oleh Cina Dap. Semua tindakan dan apa yang berlaku dalam Malaysia ini menunjukkan Dr Mahathir bukan perdana menteri sebenarnya, tapi nasi dah jadi bubur,” tegasnya lagi.
Tun Mahathir juga katanya tiada kekuatan untuk mengawal dan membuat keputusan tanpa persetujuan dari Dap.
“Kenapa bila perdana menteri dan timbalan perdana menteri hanya mereka sahaja yang berada di dalam dewan, tetapi orang lain di barisan kerajaan tidak hadir?
“Sebab perdana menteri bukan presiden parti mana-mana, begitu juga timbalan perdana menteri. Kebiasaannya, jika presiden parti berada dalam dewan, ketua whip akan pastikan semua ahli parlimen mereka akan masuk ke dalam dewan.
“Dalam mesyuarat presiden, perdana menteri dan timbalan perdana menteri pun bukan mempunyai kuasa eksekutif yang boleh menentukan segala-galanya,” tambahnya.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang menyeru pengundi memilih Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai ahli parlimen mereka supaya rakyat di kawasan Tanjung Piai mempunyai wakil yang lantang bersuara menuntut hak-hak mereka. – UMNO ONLINE