Ta’wun Siyasi Bersama PAS Bukanlah Kerjasama Politik Semata-Mata
BALIK PULAU, 18 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ta’awun Siyasi antara parti itu dengan PAS bukanlah berasaskan politik semata-mata tetapi ianya berasaskan kepada akidah, keimanan, serta kepada kejujuran.
Langkah itu menurut beliau cukup penting agar kerjasama berkenaan nanti dapat dijayakan demi kepentingan Islam dan Melayu serta negara tanpa mengenepikan agama serta bangsa lain dan itulah Ta’awun yang telah dipersetujui oleh pimpinan kedua-dua parti.
“Maka saya sebagai Presiden UMNO mendokongnya daripada dahulu hingga sekarang. Atas sifat kerjasama ini kita tidak berbincang soal kerusi, nawaitu kita bukan soal kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN), piagam yang insya Allah yang akan kita tandatangani pada 14 September ini adalah untuk kepentingan bersama,” katanya di sini, Sabtu malam.
Beliau berkata demikian pada program Ceramah Perpaduan Ummah isu-isu semasa anjuran bersama UMNO dan PAS Balik Pulau. Ceramah tersebut yang disertai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf dan Pengerusi Yayasan Ar-Riyaadah, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin.
Ceramah tersebut diadakan di perkarangan Pejabat UMNO Balik Pulau.
Ahmad Zahid seterusnya percaya iltizam dan komitmen daripada kedua-dua parti, piagam kerjasama berkenaan insya-Allah akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Piagam merupakan dokumen di atas kertas tetapi bagaimanakah soal kejujuran, soal keikhlasan demi ummah dapat dilakukan. Dalam politik mudah disebut dan sukar untuk dilaksanakan.
“Namun saya amat yakin dengan iltizam dan komitmen daripada pimpinan kedua-dua parti, insya-Allah kita akan laksanakan dengan penuh kejujuran. Yang penting matlamat kita bersama tercapai demi ummah dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” tambahnya.
Tambahnya lagi kali ini walaupun tidak ditentukan formula dan sebagainya, insya-Allah di mana PAS bertanding UMNO tidak akan bertanding dan begitulah sebaliknya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi luahan masyarakat diluar sana yang mula sedar setelah tertipu dan terbuai dengan segala janji manis dan janji kosong sebelum ini.
“Kita terbuai dan tertipu dengan janji-janji kosong… akhirnya bukan hanya dikalangan orang Islam serta Melayu malah keseluruhannya. Saya bertemu dengan masyarakat Cina mereka menyesal… saya bertemu dengan masyarakat India dan mereka juga kesal… saya bertemu dengan orang Iban, Kadazan serta pelbagai kaum yang lain mereka juga turut menyesal,” ujarnya.-UMNO Online