Isu Lynas: Mana Integriti Politik Pemimpin PH… Keputusan Kerajaan U-Turn

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Integriti politik pemimpin-pemimpin politik Pakatan Harapan (PH), terutamanya dari Dap dan PKR, terus tercabar apabila keputusan kerajaan mereka sendiri berpatahbalik (u-turn) dalam isu Lynas, kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Katanya, bagi YB Wong Tak dan YB Fuziah, Lynas ini menjadi isu utama mereka semasa berada sebagai pembangkang dan kini apabila berada dalam kerajaan, mereka terus juga membangkang terhadap Lynas tapi, Lynas kini telah diiktiraf sebagai satu pelaburan yang strategik dan menguntungkan negara.

“Sebenarnya, hampir semua pemimpin Dap telah membangkang terhadap Lynas tapi bagi YB Wong Tak, ianya satu isu utama yang telah diperjuangkan sebelum dia bertanding sebagai calon Dap di PRU14.

“YB Fuziah pun menjadikan Lynas setiap kali dia berkempen pada PRU13, berucap di Dewan Rakyat dan berkempen pada PRU14,” katanya.

Kesimpulannya, kata beliau, sebagai pembangkang, mereka berdua hidup mati menentang kehadiran Lynas di negara ini.

“Bagi saya, integriti politik bermakna kita harus mempertahankan pendirian kita walaupun ianya mungkin perlu kepada pengorbanan jawatan dalam kerajaan. Apa nak takutkan kehilangan jawatan dalam kerajaan? Terutamanya apabila kerajaan membuat keputusan yang jelas bertentangan dengan pendirian utama politik kita!

“Dari segi integriti politik, kita tidak perlu meninggalkan parti kita kerana politik parti tentunya meraikan kepelbagaian pendapat dan pendirian, tapi apabila kita terus berada dalam kerajaan, ianya tidak menunjukkan integriti politik kita.

“Demi integriti politik, mereka berdua patut letakkan apa sahaja jawatan politik dalam kerajaan. Bukankah bukan jawatan yg menjadi matlamat perjuangan politik kita tapi integriti kita dalam isu-isu utama perjuangan kita.”

Lagipun tegasnya, kerajaan tidak terjejas apabila kita meninggalkannya kerana ramai lagi rakan-rakan kita dalam parti yang boleh mengisi kekosongan itu.

“Akhirnya, kita mempertahankan integriti politik kita, wahai YB Wong dan YB Fuziah!

“Bagi YB Yeo yang pegang jawatan menteri, dia boleh berpegang kepada konsep politik, iaitu tanggungjawab bersama terhadap keputusan jemaah menteri atau ‘cabinet’s collective responsibility’. Jadi, integritinya juga secara ‘collective’ dan bersama,” katanya lagi yang membuat ulasan menerusi laman facebooknya hari ini.

Dilaporkan, awal bulan ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan Keputusan Kabinet kerajaan PH ialah melanjutkan permit operasi Lynas Corp dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi selama enam bulan lagi biarpun sebelum ini Lynas menjadi isu yang diperjuangkan oleh PH. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.