Tabung Dana UMNO Bakal Dilancarkan

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Tabung Dana UMNO (Crowd Funding) bakal dilancarkan dalam masa terdekat bagi memastikan kelangsungan aktiviti politik parti dapat dilaksanakan dengan lancar.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Tabung Dana UMNO ini dibuat bagi pembiayaan, pengurusan, pentadbiran dan aktiviti UMNO.

“Kami akan melancarkannya dalam waktu terdekat supaya kelangsungan aktiviti politik dapat dilaksanakan melalui penubuhan tabung dana UMNO ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.

Katanya, ini pertama kali dana sedemikian ditubuhkan kerana sebagaimana yang diketahui kekangan terbesar yang dihadapi UMNO adalah dari segi pembiayaan untuk aktiviti politik akibat daripada pembekuan, penyitaan dan juga beberapa tindakan perundangan.

“Kekangan terbesar yang dihadapi UMNO adalah dari segi pembiayaan untuk aktiviti politik akibat daripada pembekuan, penyitaan dan juga beberapa tindakan perundangan yang tidak adil yang dilakukan terhadap UMNO, dengan tuduhan-tuduhan diluar norma perundangan.

“Oleh yang demikian kami merasakan Tabung Dana UMNO ini harus dilancarkan bukan hanya dikalangan ahli-ahli dan kepimpinan UMNO kerana kami yakin di luar sana ramai yang bersimpati dengan UMNO dan mereka mahu membiayainya.

“MT memutuskan bahawa sebuah badan profesional akan bersama-sama dengan UMNO untuk menguruskan dana berkenaan,” maklum beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit