Dah Jadi Kerajaan, Tapi PH Masih Manipulasi Fakta Tutup Kepincangan Sendiri


KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang cuba menjadikan media sebagai mahkamah serta tidak tahu membezakan lagak seorang ‘street fighter’ dengan seorang menteri kabinet.

Menurutnya, pelbagai isu didedahkan semata-mata mahu mencari kesalahan dan menjatuhkan hukuman.

“Satu lagi objektifnya ialah untuk mengalih perhatian rakyat supaya tidak mempersoalkan perlantikan kontroversi beliau sebagai menteri kewangan kerana terpalit dengan kes rasuah yang dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Bermula daripada isu hutang negara, Lim Guan Eng menuduh kononnya kerajaan BN (Barisan Nasional) telah membelanjakan hampir RM7 Bilion untuk ‘bailout’ syarikat 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Soal dasar dan soal janji Kerajaan PH (Pakatan Harapan) langsung tidak dihuraikan,” tegas Puad dalam satu kenyataan di laman facebooknya.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu turut menimbulkan persoalan apakah yang dilakukan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu semata-mata kerana membalas dendam atau dipengaruhi oleh Tony Pua pegawai khas beliau di Kementerian Kewangan (MoF).

“Tony Pua adalah anggota PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara). Dia banyak mengeksploitasi isu 1MDB. Sebab itu wujud percanggahan dari awal lagi antara beliau dengan seorang lagi bekas ahli PAC daripada Dap iaitu Dr Tan Seng Giaw.

“Besar kemungkinan Tony Pua yang menasihatkan dan memberi fakta mengelirukan kepada Lim Guan Eng untuk diguna pakai dalam setiap sidang akhbar beliau sebagai menteri kewangan,” katanya sambil berkata PAC yang mencadangkan supaya semua aset hartanah 1MDB yang bernilai tinggi dan strategik dipindahkan kepada syarikat-syarikat milik MoF Incorporation.

Justeru, apakah salah MoF membayar hutang 1MDB sebagai balasan kerana mengambil alih aset aset hartanah tersebut? Dan mengikut nilaian semasa, harga tanah tersebut ialah RM30 Bilion, tambah Puad.

“Kalau PAC tidak mencadangkan aset itu diambil-alih oleh Kementerian Kewangan, sebenarnya 1MDB masih mampu membangunkan sendiri hartanah tersebut dan membayar hutangnya. Semua pihak tahu perkara itu dilakukan mengikut prosedur dan undang undang yang dibenarkan.

“Maka tidak timbul ia adalah ‘bailout’ sebagaimana Tun Mahathir ‘bailout’ syarikat perkapalan anaknya melalui ‘Danaharta’. Semua orang termasuk Lim Guan Eng dan ayahnya tahu perkara tersebut,” tambahnya.

“Apa kerajaan dapat bila syarikat perkapalan milik Mirzan di ‘bailout’? Tidak ada apa pun. Satu aset pun tidak dapat. Sedangkan dalam kes 1MDB, meskipun MoF Inc mengambil alih semua aset, tetapi hutang dan liabiliti 1MDB tetap kekal dengan syarikat 1MDB,” jelasnya.

Semuanya mengikut ‘Rule of law’ dan apakah perlantikan Lim Guan Eng mengikut ‘Rule of Law’?, soal Puad. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.