Janji, Kaji, Tunggu Sedikit Masa Lagi… Lepas Itu Kata Tak Jadi, Itulah PH
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menangguh sekali lagi pemberian elaun kepada anggota Bomba dan Penyelamat negara ini.
Katanya dalam lontaran di Facebook, PH hanya tahu membuat janji, mengkaji dan akhirnya tidak dilaksanakan.
“Lepas menang, PH janji pada bulan Jun 2018 lalu bahawa elaun akan terus dibagi. Bulan Disember 2018 pula, PH kata nak kaji semula elaun Bomba.
“Dua bulan dahulu, Menteri PH kata tunggu sedikit masa lagi sebelum elaun diberi.
“’Last-last’ pula, PH kata elaun Bomba ini tak jadi untuk tahun ini. Tahun depan bolehlah ‘start’ semula janji, kaji dan minta tunggu sedikit masa lagi,” tegasnya yang melampirkan petikan berita dari kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai perkara demikian (klik di sini).
Jelas Najib, ini berbeza dengan komitmen kerajaan Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Elaun elaun khas sebanyak RM200 sebulan bagi setiap pegawai serta anggota telah diumumkan oleh kerajaan BN pada bulan Mac 2018 sebelum PRU-14 (pautan berita berkaitan, klik di sini).
“Kepada kita, ia adalah sebagai penghargaan atas jasa mereka menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, elaun khas tersebut telah lama dipohon memandangkan elaun yang sama telahpun diberi kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Nampaknya iklan ‘sayangi sawitku’, kereta terbang, kereta nasional ketiga dan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) Pulau Pinang RM46 bilion kesayangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang digelarnya Menteri Kewayangan lebih menjadi keutamaan untuk PH, sindir Najib. – MediaUMNO.