Rapatkan Saf, Perkukuh Bagan Datuk
BAGAN DATUK, 4 Okt – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kekuatan Bagan Datuk sentiasa terletak pada kebersamaan dalam menghadapi apa jua cabaran.
Menurut beliau, kesediaan untuk duduk semeja, berbincang dengan hati yang terbuka dan bergerak dengan satu tekad menjadi asas penting dalam usaha membina Bagan Datuk bersama-sama.

“Bagi saya, kekuatan Bagan Datuk sentiasa terletak pada kebersamaan kita. Walau apa pun cabaran yang datang, selagi kita mampu duduk semeja, berbincang dengan hati yang terbuka dan bergerak dengan satu tekad, insya-Allah banyak
perkara dapat kita bina bersama.”
Beliau berkata demikian ketika mengulas sesi pemukiman jentera Parlimen Bagan Datuk yang merangkumi DUN Rungkup dan DUN Hutan Melintang bagi bertukar pandangan, memperkemas perkara yang masih perlu diperbaiki serta menyatukan langkah demi kepentingan Bagan Datuk.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata banyak perkara telah dibincangkan dalam sesi berkenaan, dengan prinsip utama adalah meneruskan perkara yang baik, memperbaiki perkara yang masih kurang dan memastikan perkara yang telah dipersetujui dilaksanakan.
“Prinsipnya mudah, apa yang baik kita teruskan, apa yang masih kurang kita perbaiki dan apa yang telah dipersetujui mesti kita tunaikan.”
Beliau turut menegaskan bahawa setiap usaha yang dilaksanakan akhirnya perlu memberi manfaat dan dapat dirasai oleh masyarakat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada seluruh sahabat daripada UMNO dan Barisan Nasional yang bersama dalam pemukiman tersebut.
“Semoga pertemuan ini terus merapatkan silaturahim, memperkukuh amanah dan menyatukan langkah kita untuk terus berbakti kepada Bagan Datuk yang kita sayangi.”
Menurut beliau, matlamat bersama adalah untuk memastikan Bagan Datuk terus maju dan rakyatnya terus terbela.
“Kerana akhirnya, apabila berbicara tentang Bagan Datuk, matlamat kita tetap satu iaitu melihatnya terus maju dan rakyatnya terus terbela.” – UMNO Online
