‘Sebelum Tuduh UMNO Derhaka, Pi Tengok Cermin Dulu’ – Syed Mohd Johan
KUALA LUMPUR, 23 Sept – “Sebelum tuduh UMNO derhaka, pi tengok cermin dulu.”
Demikian tegas Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengenai dakwaan bahawa UMNO derhaka kepada raja dalam isu krisis di Negeri Sembilan.
Ujarnya, kedudukan Raja Negeri Sembilan telah diputuskan oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026 namun Menteri Besar sebelum ini gagal untuk bertindak sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

“Keputusan asal tentang kedudukan Raja Negeri Sembilan telah dibuat oleh Undang Yang Empat melalui satu perisytiharan pada 19 April 2026. Bukan menteri besar dan exco yang membuat keputusan.
“Menteri besar dan exco hanya mahu melaksanakan perintah pentadbiran, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang sebenarnya gagal bertindak. Menteri Besar lama, Datuk Seri Aminuddin Harun bersembunyi di sebalik naratif penderhakaan ini, memilih untuk menyokong pihak yang kedudukannya sendiri dipertikaikan sedangkan mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan.
“Isu itu berlarutan sehingga pilihan raya terpaksa diadakan. Dalam PRN tersebut, rakyat sendiri menghukum PH dengan memberikan kemenangan kepada gelombang biru 25, berbalas sebelas,” katanya.
Tambahnya, PH tidak pula menganggap mereka sebagai penderhaka kepada institusi adat dan raja apabila enggan melaksanakan keputusan tersebut termasuk pertikaian dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Jadi, apabila kerajaan baharu mahu melaksanakan keputusan Undang Yang Empat mengikut tatacara adat, mereka terus melabelkannya sebagai derhaka dan menggulingkan raja. Sedangkan ketika PH enggan melaksanakan keputusan adat, tidak pula mereka menganggap diri sebagai penderhaka.
”Kita lihat pula isu pengampunan di-Raja dalam kes Datuk Seri Najib. Dap sendiri mengakui bahawa pandangan yang dibawa oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dalam Lembaga Pengampunan adalah pendirian parti.
“Jadi, jelas apa yang saya bawa sebelum ini, bahawa politik parti dibawa masuk ke dalam proses perlembagaan, iaitu dalam sidang pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.
Tambahnya, pelbagai tindakan telah dilakukan oleh Dap sebagai tanda protes terhadap keputusan tersebut.
“Apabila keputusan tidak mengikut kehendak dan naratif, mereka terus bantah, protes dan ugut untuk keluar daripada kerajaan. Mereka juga menggunakan peletakan jawatan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri.
“Bar Council juga digerakkan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan raja ini. Jadi, kalau kamu tidak bersetuju dengan keputusan berkaitan institusi diraja, adakah itu tidak dianggap derhaka? Dalam kes Datuk Seri Najib, kalau bukan derhaka, apa namanya?
“Saya tidak mengatakan bahawa semua kritikan itu adalah derhaka. Saya cuma mahu mendedahkan perangai PH. Apabila mereka buat, namanya reformasi. Apabila orang lain buat, namanya penderhakaan dan penggulingan raja,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
