UMNO Lahad Datu Perkemas Gerak Kerja, Sokong Tabung Solidariti Najib

LAHAD DATU, 21 Sept – UMNO Bahagian Lahad Datu memperkemaskan gerak kerja organisasi serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), selain menyatakan sokongan terhadap usaha membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu antara lima keputusan yang dicapai dalam mesyuarat UMNO Bahagian Lahad Datu yang dipengerusikan Ketua UMNO Bahagian, Sharif Musa Sharif Mabul, semalam.

“UMNO Bahagian Lahad Datu menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah kurnia perkenan bersyarat dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam memutuskan status pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Razak.”

Dalam pada itu, mesyuarat turut memutuskan supaya Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, ketua-ketua cawangan serta seluruh ahli UMNO digerakkan bagi menyumbang kepada inisiatif pengumpulan dana Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak.

UMNO Bahagian Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta semua pihak yang terlibat dalam usaha merayu agar Najib mendapat pengampunan.

“UMNO Bahagian Lahad Datu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua yang terlibat berusaha merayu agar Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan.”

Selain isu berkenaan, mesyuarat turut memberi penekanan terhadap pengukuhan jentera parti di peringkat akar umbi dengan memperkemaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi DUN Tungku, Segama, Silam dan Kunak dalam Parlimen P.188 Lahad Datu.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkemaskan gerak kerja UMNO Bahagian Lahad Datu sebagai persediaan menghadapi PRU-16.

Dalam perkembangan berkaitan, Sharif Musa turut meneruskan Program Saling Mengasihi dengan menziarahi 10 penerima yang sedang diuji dengan kesakitan.

Sumbangan kewangan dan bakul makanan turut disampaikan bagi membantu meringankan beban penerima dan keluarga, selain rombongan berkesempatan bersarapan bersama ketua-ketua kaum Kokos Lahad Datu.

Program berkenaan menjadi antara usaha berterusan UMNO Bahagian Lahad Datu mendekati masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO