Tindakan Dap Terhadap Isu Najib ‘Pengkhianatan Sempurna’- Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan segala tindakan para pemimpin Dap pada ketika ini merupakan satu pengkhianat sempurna terhadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Ujarnya, mereka dan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah bertindak mempertikaikan keputusan lembaga pengampunan ke atas isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Satu pengkhianatan yang cukup sempurna. Bermula dengan pertikaian keputusan jawatankuasa ataupun lembaga pengampunan, Ketua Wanita Dap, Teo Nie Ching meminta supaya didedahkan minit mesyuarat dan juga perbincangan Lembaga Pengampunan (mengenai kes Datuk Seri Najib Razak).
“Pada masa yang sama juga, ada juga bunyi-bunyi daripada pemimpin-pemimpin PH mempertikaikan keputusan tersebut bersulamkan ‘mengambil maklum dan menghormati keputusan KDYMM YDPA’. Tapi pada masa yang sama, mereka dilihat mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Agong itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kemuncak pengkhianatan Dap adalah ketika mereka mengorbankan Setiausaha Agung, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
“Kemuncak pengkhianatan Dap apabila mereka bermesyuarat dan akhirnya mengorbankan Setiausaha Agung, Anthony Loke dengan beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
“Kenapa tidak semua daripada Dap letak jawatan? Itu baru anak jantan. Sebenarnya, ada cara sekiranya kesemua pemegang jawatan daripada Dap letak jawatan, kerajaan tak jatuh.
“Letak jawatan, tetapi janganlah meninggalkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tetap tidak akan jatuh. Tetapi hakikatnya mereka sayangkan jawatan dan tidak sanggup sehingga mengorbankan Anthony Loke.
“Pada akhirnya, saya tetap berpandangan bahawa ini adalah pengkhianatan yang sempurna daripada Dap,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhasrat untuk meninggalkan jawatannya sekiranya PH kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Apabila PH benar-benar kalah pada kedua-dua PRN tersebut, Nga Kor Ming menyatakan bahawa beliau hanya akan meletakkan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib dibebaskan.
Namun, apa yang terjadi ialah Anthony Loke dikorbankan untuk melepaskan jawatan beliau. Peristiwa ini turut menunjukkan bahawa Dap tidak menjunjung keputusan YDPA yang memutuskan Datuk Seri Najib untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah dengan bersyarat. – UMNO Online
