Tunai Janji Manifesto BN, Tiada Kenaikkan Kadar Cukai Pintu – Ismail Lassim
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan tiada kenaikkan kadar cukai pintu bagi kediaman untuk tempoh lima tahun sebagai langkah mengambil kira kepentingan rakyat dan beban kos sara hidup yang perlu terus diberi perhatian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh berkata ia antara usaha yang ditunaikan seperti yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 baru-baru ini.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta beban kos sara hidup yang perlu terus diberi perhatian.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap keputusan yang dibuat mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Negeri.
Sementara itu Ismail turut sama memaklumkan Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-16 akan berlangsung selama satu hari pada 18 Ogos 2026 ini.
Katanya, persidangan berkenaan akan melibatkan upacara mengangkat sumpah semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta urusan pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri yang baharu.
Terdahulu, cukai pintu kediaman tidak akan dinaikkan selama lima tahun, antara komitmen BN yang digariskan dalam manifesto PRN Negeri Sembilan ke-16 bersama 88 usaha di bawah sembilan teras utama dan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera. – UMNO Online
