53 Bekas Ahli PKR DUN Pertang Sertai UMNO, Bakal Tubuh Cawangan Ke-60 Di Jelebu
JELEBU, 28 Julai – Gelombang sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 53 bekas ahli PKR di Kampung Bemban dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, di sini mengambil keputusan menyertai UMNO, malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemasukan ahli-ahli baharu itu membolehkan sebuah cawangan baharu diwujudkan di kawasan berkenaan, sekali gus menjadi cawangan ke-60 di Bahagian Jelebu dan cawangan ke-22,199 di seluruh negara.

“Alhamdulillah. Saya sebenarnya banyak menerima permohonan-permohonan sepanjang kempen ini untuk menyertai Rumah Bangsa UMNO. Sama ada ‘online’ ataupun bila kita turun ke bawah ini.
“Dan hari ini, salah satunya ialah di Kampung Bemban ini menerima kemasukan 53 ahli baharu sebelumnya dari PKR. Mereka nak mewujudkan cawangan baru yang akan menjadikan cawangan yang ke-60 di Jelebu dan menjadikan cawangan yang ke-22,199.
“Saya tengok tadi borangnya semua lengkap. Insya-Allah kita akan proses esok (hari ini) juga supaya kita dapat menubuhkan cawangan baru di sini. Sebab nampak mereka amat bersemangat,” katanya.
Terdahulu, Dr Asyraf menyampaikan ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi Jerang dan menerima borang ahli UMNO yang lengkap diisi daripada wakil ahli baharu tersebut Syakirin Shamsuddin.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Hasnol Ayub dan calon BN DUN Pertang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Menurut Dr Asyraf, Kampung Bemban yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH) kini memperlihatkan perubahan ketara apabila ceramah BN mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Ini satu petanda yang cukup baik sekali. Bukan sahaja di sini, sebenarnya saya sudah pun menjelajah hampir 26 DUN sejak penamaan calon. Dan saya melihat gelombang sokongan daripada akar umbi itu amat positif sekali,” katanya.

Seterusnya, Dr Asyraf berpandangan bahawa rakyat mula menghargai rekod pembangunan yang dibawa oleh kepimpinan BN, khususnya projek-projek pembangunan di Negeri Sembilan seperti Bandar Seri Sendayan, Bandar Nilai dan Seremban 2 yang dapat dilihat sendiri hasil kejayaannya.
Dalam masa sama, Dr Asyraf turut mengingatkan bahawa gagasan Malaysia Vision Valley (MVV) merupakan inisiatif yang diasaskan ketika pentadbiran BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Mohamad sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Sepatutnya inilah yang kita dapat laksanakan secara besar-besaran kalau tidak tergendala 2018 dulu,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya BN membawa politik perkauman, Asyraf menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas kerana BN sejak awal penubuhannya dibina atas semangat perkongsian kuasa, kepelbagaian kaum dan perpaduan rakyat.
“Sedangkan tidak ada pun satu penceramah-penceramah ataupun kepimpinan yang membawa kempen perkauman sebab Barisan Nasional memang didirikan dan dibentuk atas semangat kesepaduan dan kepelbagaian, juga kemajmukan.
“Barisan Nasional bukan hanya Melayu. Kita ada MCA, MIC, dan inilah parti yang mengasaskan negara kita. Dan daripada awal lagi negara ini bila dibentuk, kita sudah sepakat untuk berkongsi kuasa dan berkongsi tanah air ini.
“Dan tanah air ini bukan hanya milik orang Melayu. Dia milik orang Cina, milik orang India, milik Orang Asli, Kadazan, Dusun, Iban, dan sebagainya. Jadi, tidak seharusnya timbul sebarang provokasi yang boleh mengundang ketidakselesaan dan boleh mencetuskan ketidakharmonian kepelbagaian kaum,” katanya. – UMNO ONLINE
