UMNO Bukit Bintang Diperkukuh, Fokus Martabat Melayu Bandar Dan Persiapan PRU-16

KUALA LUMPUR, 27 Julai – UMNO Bahagian Bukit Bintang terus komited memperkukuhkan gerak kerja parti dengan memberi tumpuan kepada agenda memperkasa masyarakat Melayu bandar, memperluaskan khidmat kepada rakyat serta memperkemaskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan parti perlu diterjemahkan melalui usaha yang berterusan demi memastikan bahagian itu terus menyumbang kepada kekuatan dan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kepercayaan bukan dipinta. Kepercayaan dibina melalui kerja dan hasil. Sebab itu UMNO Bahagian Bukit Bintang akan terus bekerja, menyumbang idea, tenaga dan kemenangan kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang 2026 yang telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini, Ahad.

Tengku Azman memaklumkan bahawa antara kejayaan yang dicapai oleh UMNO Bahagian Bukit Bintang ialah melalui Jabatan Pengundi Luar (JPL) yang berjaya menghubungi hampir 15,000 pengundi luar bagi memperkukuhkan hubungan dengan rakyat menjelang PRU-16.

“15,000 itu bukan sekadar angka tetapi ia adalah hubungan yang kita bina, keluarga yang kita dekati dan harapan untuk memperkukuhkan sokongan kepada Barisan Nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Bahagian Bukit Bintang akan terus memperjuangkan agenda Melayu bandar termasuk usaha mengangkat semula Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai nadi ekonomi, budaya dan warisan Melayu di ibu kota.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memaklumkan kerjasama strategik antara DBKL dan GiatMARA sedang dirancang bagi memperluaskan peluang latihan kemahiran kepada anak-anak muda, khususnya mereka yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita tidak mahu anak-anak Melayu di bandar hanya menjadi pencari kerja. Kita mahu mereka menjadi tenaga mahir, usahawan dan pemimpin yang akan mencorakkan masa depan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau lagi, perjuangan UMNO di bandar bukan sekadar mempertahankan hak masyarakat Melayu, sebaliknya memastikan mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan negara.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada UMNO Bahagian Bukit Bintang.

Ujar Tengku Azman lagi, sebagai simbol penghargaan terhadap kepimpinan dan jasa dalam memperjuangkan agenda Melayu bandar, Johari turut dinobatkan sebagai “Ikon Melayu Bandar” oleh UMNO Bahagian Bukit Bintang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO