Najib Kekalkan Kemenangan BN Di Parit Yaani Dengan Peningkatan Majoriti

SRI GADING, 12 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, berjaya mempertahankan kerusi tersebut apabila memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dengan majoriti 7,620 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Md Ezam Md Taslin, sekali gus membuktikan keyakinan berterusan rakyat terhadap kepimpinan serta perjuangan BN di kawasan berkenaan.

Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Parit Yaani, Najib berkata kemenangan itu adalah hasil sokongan, doa dan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulillah, dari hati yang paling ikhlas, terima kasih warga DUN N.21 Parit Yaani. Sepanjang perjalanan ini, setiap doa, sokongan, teguran dan semangat yang diberikan amat saya hargai.

“Saya akan sentiasa menghargai setiap senyuman, setiap jabat tangan dan setiap pertemuan yang kita kongsi bersama,” katanya.

Menurut beliau, kemenangan tersebut bukan sekadar satu kejayaan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul demi memastikan kebajikan serta pembangunan Parit Yaani terus diberi perhatian.

“Kepercayaan yang diberikan ini merupakan satu amanah yang amat besar. Terima kasih kerana memilih dan memberikan keyakinan kepada Barisan Nasional.

“Insya-Allah, saya akan membalas kepercayaan ini dengan kerja, khidmat dan usaha yang terbaik untuk seluruh warga Parit Yaani,” ujar beliau.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO