Pengundi DUN Jementah Perlu Sepakat Pastikan Dap Tumbang – Bastien

SEGAMAT, 9 Julai – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah khususnya Melayu diseru bersatu hati memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) See Ann Giap bagi menamatkan penguasaan Dap yang telah mewakili kawasan itu selama 15 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat Datuk Bastien Onn berkata, kemenangan calon BN daripada MCA itu amat penting bagi memastikan DUN Jementah kembali mempunyai wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat tanpa mengira kaum serta memahami keperluan penduduk dan komuniti.

“Selama 15 tahun DUN Jementah ini diwakili Dap. Lebih kurang 43 peratus pengundi Melayu di sini tidak dilayan, dan dia jarang kelihatan apabila berlakunya perkara-perkara musibah yang menimpa penduduk-penduduk Islam dan Melayu di sini.

“Berbanding dengan calon BN ini, Ann Giap, yang sering berada di sekitar penempatan penduduk orang Melayu, bukan sahaja menyantuni pengundi-pengundi Cina. PRN lepas beliau pun bertanding (kalah 714 undi). Sejak hari itu beliau mula bekerja sehingga hari ini. Inilah peluang kita untuk meletakkan calon daripada Barisan Nasional yang mesra Islam dan juga mesra orang Melayu.

“Beliau tidak memilih kaum, beliau sudah bekerja kuat dengan pengundi Cina, malah beliau mempunyai kelebihan dengan pengundi-pengundi Melayu. Kepada pengundi-pengundi Jementah, inilah harapan kita melantik seorang wakil daripada Barisan Nasional dan menidakkan calon Dap daripada masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri di Johor,” katanya lagi.

Justeru, Bastien menyeru semua pengundi jangan lagi membuat kesilapan kerana wakil rakyat daripada Dap itu tidak mengambil berat keperluan mereka.

Seterusnya, beliau turut mengingatkan bahawa perpecahan undi Melayu hanya akan memberi kelebihan kepada pihak Pakatan Harapan (PH)/Dap dan pengundi diminta mengetepikan perbezaan politik demi memastikan BN berjaya merampas kembali kerusi DUN Jementah.

Selain itu, Bastien juga berharap pengundi muda agar mengambil pengajaran apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu apabila mereka yang dipilih tidak menunaikan janji.

“Kita melihat bahawa banyak janji yang tidak dapat ditunaikan… janji-janji itu seumpama janji bulan dan bintang yang tidak boleh dikotakan. Dan hari ini kita melihat bahawa janji-janji itu diulangi di PRN Negeri Johor ini.

“Jadi, kepada pengundi muda, undi Barisan Nasional dan kita akan pastikan bahawa masa depan anda lebih terjamin,” katanya.

Berhubung dengan tempoh kempen yang semakin hampir kepada hari pengundian, Bastien berkata jentera parti tetap bersemangat memberi komitmen yang sangat tinggi bagi memenangkan calon BN.

“Saya juga melihat perubahan daripada pengundi-pengundi Cina kepada Ann Giap dan ini memberi semangat kepada jentera. Semangat kepada jentera untuk bekerja dengan lebih kuat apabila kita melihat mood pengundi Cina kepada Ann Giap ini berubah.

“Dan ini suntikan semangat kepada kita, sebab itu kita bekerja bersungguh-sungguh, bekerja untuk memastikan pengundi-pengundi Melayu dapat mengundi calon MCA,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO