DUN Semerah: Dari Bersatu Kembali Ke UMNO, Mohd Fared Yakin Sokongan Bertambah
PARIT SULONG, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid yakin gelombang sokongan bekas ahli dan penyokong Bersatu yang kembali menyertai UMNO akan terus memperkukuhkan kedudukan BN menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, perkembangan itu bukan sekadar melibatkan ahli biasa, malah turut membabitkan beberapa ketua cawangan Bersatu yang telah mengambil keputusan kembali bersama UMNO dan BN.

“Alhamdulillah. Kalau semak lebih mendalam, mereka itu adalah ketua-ketua cawangan Bersatu. Apabila ketua-ketua cawangan sudah kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional, mereka juga telah ditugaskan untuk memujuk serta mengajak ahli-ahli mereka kembali bersama perjuangan parti,” katanya kepada media sebaik selesai program ‘Kasi On Bersama MB Johor’ di Semerah, di sini, petang Isnin.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima keyakinan bahawa lebih ramai masyarakat Semerah yang sebelum ini menjadi ahli atau penyokong Bersatu akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.
Mohd Fared berkata, usaha memperkukuhkan semula sokongan itu penting memandangkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin, memperoleh kira-kira 8,000 undi pada pilihan raya negeri sebelum ini.

“Ketika PRN yang lalu, Datuk Ariss Samsudin yang mewakili PN mendapat sekitar 8,000 undi. Jadi Datuk Zulkurnain Kamisan (Pengerusi Parlimen Parit Sulong), memohon supaya Datuk Aris sendiri berusaha membawa kesemua 8,000 penyokong itu kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.
“Saya kira itu adalah satu permohonan dan hasrat kerjasama yang sangat adil,” katanya.
Beliau berkata, momentum kemasukan semula bekas pemimpin serta ahli Bersatu ke dalam UMNO membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan BN semakin meningkat, sekali gus memberi suntikan semangat kepada jentera parti untuk terus bekerja keras mendekati pengundi sehingga hari pengundian.
Dalam program ‘Kasi On Bersama MB Johor’ itu, selain Ariss, turut hadir bekas calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Mohd Faizal Dolah, bagi kawasan Parlimen Parit Sulong pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan yang lain dengan menyatakan sokongan kepada BN dalam PRN kali ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya di program berkenaan turut memberikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kembali berjuang bagi memenangkan calon BN. – UMNO ONLINE
