DUN Bukit Naning: Perkasa Anak Muda Melalui TVET, Kukuhkan Ekonomi – Mohd Ghazali
BAKRI, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning Mohd Ghazali Sabari bertekad akan memperkasakan anak-anak muda sekurang-sekurangnya mempunyai kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) jika diberi peluang mewakili masyarakat di kawasan itu.
Menurut Ghazali yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri golongan muda yang mempunyai kemahiran merupakan aset berharga untuk masa hadapan Bukit Naning khususnya.

“Memperkasakan TVET untuk anak-anak muda. Saya percaya, tidak semua kejayaan bermula di universiti. Ramai anak muda mempunyai bakat dan kemahiran yang boleh dibentuk melalui pendidikan TVET.
“Sebab itu, saya mahu membuka lebih banyak ruang kepada mereka untuk mengikut latihan kemahiran, memperoleh sijil yang diiktiraf, dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik atau menjadi usahawan yang berjaya. Anak muda yang mempunyai kemahiran adalah aset yang paling bernilai untuk masa depan di Bukit Naning ini,” katanya.
Selain itu katanya, Mohd Ghazali juga fokus untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat setempat.
“Memperkukuhkan ekonomi rakyat. Saya mahu lebih ramai penduduk kampung mendapat peluang menjana pendapatan. Petani, pekebun, penternak, usahawan kecil, dan peniaga tempatan perlu terus dibantu supaya hasil mereka mempunyai nilai yang lebih tinggi, lebih mudah dipasarkan, dan mampu meningkatkan pendapatan keluarga.
“Apabila ekonomi kampung berkembang, insya-Allah, manfaatnya akan dirasai oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Jelasnya, sebagai anak tempatan beliau memahami denyut nadi rakyat di kawasan dan sering bertemu dengan pelbagai kelompok masyarakat.
“Sebagai anak tempatan, saya memahami denyut nadi di Bukit Naning ini. Saya mengenali masyarakat. Saya mendengar sendiri harapan para petani. Saya melihat kesungguhan para peniaga.
“Saya percaya kepada potensi anak-anak muda dan saya amat menghargai jasa generasi terdahulu yang telah membangunkan Bukit Naning sehingga menjadi kawasan yang kita banggakan hari ini,” katanya. – UMNO ONLINE
