Rakyat Johor Akan Nilai Rekod, Bukan Retorik Politik – Calon BN Semerah
BATU PAHAT, 28 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata rakyat Johor kini semakin matang dan akan membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian, prestasi serta kemampuan sesebuah parti mentadbir negeri.
Beliau berkata, BN Johor tampil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan rekod pentadbiran yang boleh dinilai, selain menawarkan manifesto dan pelan pembangunan yang jelas menerusi agenda Maju Johor 2030.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa masih terdapat pihak yang belum bersedia untuk mentadbir Johor. Kenyataan itu bukan dibuat tanpa asas kerana rakyat sendiri mampu menilai prestasi setiap parti.
“BN datang dengan rekod yang terbukti dan hala tuju yang jelas untuk lima tahun akan datang. Kita bukan sekadar menawarkan janji, tetapi membawa pelan pembangunan yang realistik demi kemajuan Johor,” katanya melalui satu kenyataan.
Mohd Fared berkata, sehingga kini rakyat masih menantikan tawaran yang jelas daripada pihak lawan, sedangkan kempen yang dipaparkan lebih banyak berkisar kepada serangan politik dan permainan persepsi.
Menurut beliau, rakyat lebih mengutamakan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pilihan raya bukan pertandingan siapa paling lantang bercakap, tetapi siapa yang benar-benar mampu memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Saya yakin pengundi Johor akan membuat keputusan berdasarkan rekod, prestasi dan kemampuan mentadbir, bukannya retorik politik semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Johor agar terus memberikan mandat kepada BN demi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan sekali gus membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan.
“Johor memerlukan kestabilan untuk terus maju. Marilah kita bersama-sama memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan melalui kepimpinan yang telah terbukti bekerja untuk rakyat. Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan,” katanya. – UMNO Online
