PRN Johor: Satu Lawan Satu Di DUN Benut

PONTIAN, 27 Jun – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut menyaksikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Sumali Reduan, bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Razak Ismail.

Proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Serbaguna Benut berjalan lancar dengan pusat penamaan calon ditutup tepat jam 10.00 pagi selepas hanya dua calon daripada BN dan PH mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Benut, Sulaiman Ismail, memaklumkan Mohd Sumali menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.04 pagi, diikuti calon PH, Abdul Razak Ismail, pada jam 9.08 pagi.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang pencalonan ditolak dan kedua-dua calon layak bertanding bagi merebut mandat rakyat di DUN Benut.

Terdahulu, penyokong BN membanjiri Rumah UMNO Benut seawal pagi sebelum berarak ke pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan padu kepada Mohd Sumali.

Perarakan tersebut diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang turut diiringi kepimpinan parti serta jentera BN.

Suasana bertambah meriah apabila lautan bendera BN memenuhi laluan perarakan, diselang-seli laungan “Hidup BN” dan “Maju Johor” yang bergema, mencerminkan semangat serta keyakinan penyokong terhadap calon parti itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa serta amanat dan kata-kata pembakar semangat daripada barisan kepimpinan sebelum perarakan menuju ke Dewan Serbaguna Benut bermula pada jam 8.45 pagi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DUN Benut, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, dalam ucapannya menzahirkan keyakinan bahawa Datuk Mohd Sumali Reduan mampu memperoleh mandat rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan tersebut.

Beliau berharap kemenangan calon BN itu kelak akan membolehkan kedua-duanya terus berganding bahu memperjuangkan kebajikan rakyat serta memperkukuhkan pembangunan di Parlimen Pontian dan DUN Benut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO