Pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 Perlu Restu DUN Sarawak Terlebih Dahulu
KUALA LUMPUR, 4 April – Blok pembangkang hari ini sepakat menyokong Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bagi membantah cadangan pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 Perkara 1 (2).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pindaan tersebut tidak perlu dibentangkan sekarang dalam keadaan terburu-buru malah beliau merasakan pindaan yang hendak dilakukan itu seolah-olah mepermainkan Perlembagaan.
“Blok pembangkang bersetuju bahawa pindaan ini tidak perlu dibentangkan sekarang dan dalam keadaan terburu-buru kerana ia hanya melibatkan satu perkara sahaja iaitu mengenai negeri, kalau dulu di bawah artikel 1(2)… meletakkan negeri di bawah satu baris tetapi sekarang ini diasingkan A dan B, ini bukan sesuatu yang ditunggu oleh rakan-rakan dari Sabah dan Serawak kerana apa yang mereka perlu adalah pindaan secara menyeluruh.
“Di bawah Barisan Nasional (BN) dulu kita memberikan tumpuan kepada perjanjian 63 di mana jawatankuasa pun telah dibentuk untuk meneliti secara halus dan bersetuju untuk melaksanakaannya malah 13 perkara telah pun dipersetujui tetapi apa yang kita lihat hari ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak mempedulikan tuntutan dan kehendak rakyat di Sarawak dan Sabah kerana apa yang dibentangkan hari ini langsung tidak melibatkan perkara yang dipersetujui di bawah perjanjian 63.
“Pihak kerajaan perlu melihat kembali bantahan daripada kita semua dan saya berharap supaya kerajaan menarik balik cadangan pindaan ini dan menyerahkan kepada ‘select committee’ (jawatankuasa terpilih) untuk membincangkan dengan lebih menyeluruh,” ujar beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berpendapat, pindaan ini tidak lebih dari sekadar ‘kosmetik’ semata-mata.
Jelas beliau, ini kerana cadangan pindaan yang dibuat kerajaan persekutuan itu langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.
“Cadangan pindaan ini hanyalah bersifat kosmetik semata-mata dan ia langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak. Kami juga berpendapat pindaan ini perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
“Kami juga mencadangkan agar pindaan tersebut ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hak-hak Sarawak dan Sabah dimuktamadkan,” jelasnya.
Terdahulu kerajaan menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew telah membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak di dalam Negeri-Negeri Persekutuan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun begitu ianya mendapat bantahan daripada kebanyakan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang bukan berada dalam blok kerajaan termasuklah oleh ahli-ahli Parlimen BN dan PAS.
Mereka menuntut supaya kerajaan menarik balik cadangan pindaan tersebut dan membawanya ke ‘select committee’ terlebih dahulu untuk diperincikan.
Dinamakan sebagai Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu membabitkan Perkara 1 dengan menggantikan Fasal (2) dengan Fasal berikut;
(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:-
(a) Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan,Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan
(b) Sabah dan Sarawak. – MediaUMNO