Jafry Angkat Sumpah ADUN Sukau, Tekad Galas Amanah Rakyat
KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau.
Dalam kenyataannya, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah yang baharu berikrar untuk memikul amanah tersebut dengan sebaiknya demi memastikan suara rakyat Sukau dan Sabah terus diberi perhatian dan diperjuangkan.
“Alhamdulillah, hari ini saya telah mengangkat sumpah sebagai ADUN Sukau. Amanah ini akan saya pikul dengan penuh kesungguhan demi memastikan suara rakyat terus didengar dan dihormati,” katanya.
Sebagai menteri bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri, Jafry menegaskan komitmennya untuk meneruskan agenda pemerkasaan industri pelancongan, pemeliharaan warisan negeri serta kelestarian alam sekitar demi masa depan Sabah yang lebih makmur dan mampan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.
“Kita terus bekerja, demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” ujarnya. – UMNO Online
