ADUN Behrang Tekankan Suara Akar Umbi Dalam Pemurnian Pelan Sejahtera Sosial Perak 2030

BEHRANG, 11 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, menegaskan bahawa proses libat urus dalam Pemurnian Pelan Tindakan Pembangunan Sejahtera Sosial Perak 2030 bukan sekadar sesi perbincangan di meja rundingan, tetapi medan penting untuk membawa suara rakyat dari peringkat akar umbi ke pengetahuan pembuat dasar negeri.

Menurut beliau, pelan sosial yang dirangka perlu benar-benar mencerminkan realiti hidup masyarakat iaitu daripada ibu yang sedang membina semula kehidupan, anak muda yang mencari peluang masa depan, sehinggalah warga emas yang mendambakan rasa aman di usia senja.

“Di hadapan para perancang dasar negeri, saya membawa satu hasrat bahawa setiap pelan sosial mesti menyentuh hidup manusia, bukan sekadar menjadi dokumen cantik di atas meja,” ujar Salina.

Beliau berkata pengalaman serta ilmu yang diperoleh daripada bengkel tersebut mengukuhkan tekad untuk memastikan setiap dasar negeri diterjemahkan kepada tindakan nyata di peringkat lokal, khususnya di Behrang.

Dalam perkembangan lain, Salina yang terus mengaktifkan gerak kerja di lapangan menerusi Pusat Khidmat Rakyat DUN Behrang baru-baru telah menyantuni Puan Rafinah Isman, penduduk Felda Sungai Behrang yang kini uzur dan terlantar sakit di rumah.

Ujarnya, sebagai tanda keprihatinan, pihak pusat khidmat telah menyerahkan sebuah katil wakaf bagi membantu memudahkan urusan penjagaan harian serta memberikan sedikit keselesaan kepada beliau dan keluarga.

Beliau turut menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga terbabit.

“Kami sentiasa mendoakan agar Puan Rafinah diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Usaha menyantuni masyarakat ini merupakan komitmen berterusan Pusat Khidmat Rakyat DUN Behrang dalam memastikan kebajikan penduduk setempat terus diberi perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO