Ahmad Zahid Seru Gerakan “One ASEAN SME Movement” Kukuhkan Ekosistem Keusahawanan Serantau

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan SME Venture @ASEAN 2025, sebuah inisiatif serantau yang menghimpunkan pemain industri, pelabur dan usahawan dari 18 negara termasuk seluruh ASEAN, bertujuan memperkukuh jaringan keusahawanan dan pelaburan rentas sempadan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kekal sebagai nadi utama ekonomi negara dengan sumbangan hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan hampir separuh daripada peluang pekerjaan di Malaysia.

Namun begitu, katanya, sumbangan usahawan ASEAN kepada eksport rantau ini masih berada pada paras sekitar 18 peratus, yang menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk diterokai melalui kerjasama serantau dan peluasan pasaran global.

“Melihat semangat dan tekad para usahawan yang hadir memberi keyakinan kepada saya bahawa masa depan ekonomi rantau ini sedang dibina oleh tangan-tangan yang gigih dan berani mengambil peluang,” ujar beliau.

Majlis pelancaran tersebut berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, sejurus selepas beliau pulang dari lawatan kerja ke Kemboja.

Ahmad Zahid juga mengusulkan satu gerakan baharu dinamakan “One ASEAN SME Movement”, iaitu satu platform serantau yang menghubungkan usahawan, pelabur dan inovator dalam satu ekosistem perdagangan baharu yang lebih inklusif dan dinamik.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan kekuatan ekosistem keusahawanan serantau, semangat kolaborasi yang kukuh serta keberanian untuk keluar daripada zon selesa, lebih banyak syarikat tempatan akan muncul sebagai peneraju pasaran di peringkat serantau dan global. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO