Puteri UMNO Perak Laksana ‘Kempen Sekolah Selamat & Jiwa Sihat’, Seru Prihatin Keselamatan Pelajar
IPOH, 15 Okt – Ketua Puteri UMNO Negeri Perak, Sarah Syazwani Saari menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam kepada keluarga mangsa pelajar yang maut akibat ditikam di sekolah baru-baru ini.
Beliau berkata, insiden tragis itu bukan sekadar satu kejadian ngeri, tetapi satu tamparan kesedaran kepada seluruh masyarakat bahawa tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar kini berada di tahap membimbangkan.

“Sebagai ibu muda, hati saya remuk melihat masa depan anak-anak kita diancam sebegini. Saya tidak dapat menahan sebak membayangkan bagaimana seorang ibu menanti anaknya pulang dari sekolah, tetapi yang kembali hanyalah khabar duka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setiap anak yang melangkah ke sekolah bukan sekadar membawa beg dan buku, tetapi juga membawa harapan keluarga dan masa depan negara.
Beliau berkata, kejadian seumpama ini seharusnya menjadi isyarat jelas bahawa sistem keselamatan pelajar perlu dinilai semula, termasuk pendekatan terhadap isu disiplin, pengaruh negatif media sosial, tekanan rakan sebaya, dan aspek kesihatan mental pelajar yang sering dipandang ringan.
“Tragedi ini adalah tanda bahawa sistem kita memerlukan pendekatan baharu – lebih empati, lebih manusiawi,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Sarah menyeru agar:
1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan semula program Kaunselor Rakan Remaja dan memperkukuh peranan guru bimbingan bagi membantu pelajar berisiko.
2. Sekolah dan PIBG memperhebat komunikasi dua hala antara ibu bapa dan pihak pentadbiran bagi mengenal pasti tanda awal perubahan tingkah laku pelajar.
3. Komuniti setempat dan NGO belia digerakkan melalui program kesedaran, bengkel kendiri dan aktiviti membina nilai empati dalam kalangan remaja.
4. Polisi Zero Tolerance terhadap keganasan di sekolah dikuatkuasakan secara tegas dan berterusan.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa Puteri UMNO Negeri Perak akan melancarkan siri ‘Kempen Sekolah Selamat & Jiwa Sihat’ di seluruh negeri.
“Kempen ini akan digerakkan oleh jentera Puteri di setiap bahagian dan cawangan bagi membantu memperkukuh kesedaran komuniti sekolah tentang keselamatan fizikal dan kesejahteraan emosi pelajar,” jelasnya.
Sarah juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian ini. Tragedi ini mengingatkan kita bahawa setiap anak adalah amanah yang mesti dijaga bersama,” katanya lagi. – UMNO Online
