UMNO Pendang Terus Angkat Agenda Masyarakat, Jadi Suara dan Sandaran Rakyat

PENDANG, 9 Okt – UMNO terus memainkan peranan sebagai jambatan utama antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, terutama golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob, berkata usaha kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jelas membuktikan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.

“Selain program pembinaan rumah baharu di bawah KKDW, kerajaan turut memperuntukkan bantuan pembaikan rumah sedia ada bagi memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Suraya berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembaikan sebuah rumah di Pendang yang menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaiki keseluruhan bumbung yang telah uzur.

Menurutnya, rumah berkenaan telah dibina lebih 35 tahun lalu dan tidak pernah dibaiki sebelum ini, menyebabkan setiap kali hujan, penghuni terpaksa menahan air yang menitis dari bumbung bocor.

“Setiap kali hujan, mereka akan berjaga malam untuk menadah air yang masuk ke dalam rumah. Tapi Alhamdulillah, dengan bantuan KKDW dan pelaksanaan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), masalah itu kini selesai.

“Mak Long yang tinggal di rumah itu sempat bergurau, katanya ‘la ni dengaq bunyi hujan pun seronok!’. Itulah gambaran sebenar betapa besar makna bantuan ini untuk mereka,” ujar Suraya.

Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan melalui agensi seperti KEDA, MARA, dan RISDA menunjukkan bahawa agenda pembangunan luar bandar bukan hanya tentang projek besar, tetapi menyentuh terus keperluan asas rakyat.

“UMNO akan terus memainkan peranan sebagai jambatan rakyat kepada kerajaan iaitu memastikan setiap suara didengar dan setiap bantuan sampai kepada yang layak.
Ini bukan soal politik semata-mata, tapi soal tanggungjawab sosial dan kasih kepada rakyat yang sememangnya telah sebati dalam UMNO.”

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif berkenaan secara cekap dan telus.

“Pendekatan berasaskan keprihatinan inilah yang menjadi nadi perjuangan UMNO sejak dahulu iaitu membela rakyat tanpa mengira latar belakang, dengan semangat kebersamaan dan keikhlasan, insyaAllah perjuangan ini akan tetap relevan,” tegas Suraya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO