PRN Sabah: Jentera BN Pensiangan Siap Siaga Pertahan Kubu Tradisi
PENSIANGAN, 9 Okt – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pensiangan kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi mempertahankan kawasan Pensiangan termasuk ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, khususnya DUN N.46 Nabawan yang menjadi kubu tradisi BN sejak sekian lama.
Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak, menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan BN bukan sekadar mempertahankan simbol parti semata-mata, tetapi mempertahankan maruah, kestabilan dan kesinambungan pembangunan untuk rakyat.

“BN telah membina, menjaga dan mengangkat kawasan ini dari dulu hingga kini. Jangan biar perjuangan ini terhenti. Kita terus maju bersama BN demi rakyat,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut beliau, kemenangan bukan hanya bergantung kepada jumlah undi, tetapi kepada kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan perjuangan BN yang sentiasa konsisten membela nasib rakyat luar bandar.
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN di DUN Nabawan agar terus bekerja dengan semangat setiakawan dan tidak pernah berundur dalam memastikan BN kekal menjadi pilihan rakyat.
“Jentera BN DUN N.46 Nabawan sudah bersiap sedia dan akan terus berjuang mempertahankan BN. Kita kekalkan semangat, Radu Tatap Radu, Radu Sampai Menang!” tegasnya lagi.
DUN Sabah ke-16 telah dibubarkan berkuat kuasa Isnin 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN Ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Okt ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan pelaksanaan PRN Sabah ke-17 iaitu menentukan antara lain tarikh penamaan calon, pengundian awal, hari mengundi dan tempoh berkempen. – UMNO Online
