Kerajaan P. Pinang Disaran Perhalusi Semakan Cukai, Pewartaan Sempadan Bandar
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyarankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mempertimbangkan beberapa tindakan sebelum melaksanakan semakan cukai tanah dan pewartaan kawasan bandar di negeri tersebut.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas turut melahirkan kebimbangan implikasi usaha tersebut terhadap penduduk kampung tradisi dan luar bandar yang dikenakan kadar cukai lebih tinggi.

“Saya mengambil maklum tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah mewartakan peluasan sempadan bandar dan menyemak kadar cukai tanah setelah lebih 30 tahun tidak disemak. Ini merupakan langkah yang difahami dari sudut keperluan meningkatkan hasil negeri dan memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam.
“Namun begitu, saya ingin melahirkan kebimbangan terhadap implikasi langsung langkah ini, khususnya ke atas penduduk kampung tradisi dan luar bandar yang kini diklasifikasikan sebagai kawasan bandar.
“Akibatnya, mereka dikenakan kadar cukai tanah kategori bandar yang lebih tinggi – ada yang meningkat lebih 100 peratus. Cukai ke atas lot kediaman kampung (dulunya 22 sen meter persegi): kini akan dicukai sebagai lot kediaman bandar dengan kadar 70 sen meter persegi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, perkara tersebut menjadi beban yang nyata kepada pemilik tanah dan beliau berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh menyediakan rebat khas untuk mereka dan golongan B40.
“Ini merupakan beban nyata, terutama kepada pemilik tanah yang berpendapatan rendah dan warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun.
“Sehubungan itu, saya mohon menyarankan kepada kerajaan negeri dan saya yakin ia pasti mendapat pertimbangan Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas beberapa tindakan seperti berikut menyediakan rebat khas untuk pemilik tanah kampung tradisi serta kategori B40.
“Selain itu, saya turut menyarankan agar dialog dan libat urus terus bersama wakil kampung tradisi, pertubuhan penduduk diadakan sebelum menguatkuasakan pewartaan serta kadar baharu secara menyeluruh. Untuk rungkai kekeliruan rakyat terhadap kadar cukai baharu, perlu diadakan juga simulasi kadar cukai yang akan dikenakan supaya rakyat boleh semak sendiri dahulu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut yakin akan pendekatan bersifat kemanusiaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengurangkan tekanan kepada golongan terkesan.

“Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pulang Pinang mengkaji semula garis sempadan kawasan bandar baharu yang telah diwartakan, agar kawasan luar bandar dan kampung tradisi tidak dimasukkan secara automatik tanpa mengambil kira infrastruktur semasa dan taraf sosioekonomi penduduk.
“Selain itu saya berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyesuaikan kadar cukai berdasarkan status pembangunan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan pewartaan. Kawasan yang masih kekal sebagai kampung tradisi tidak wajar dikenakan kadar cukai setara dengan bandar.
“Saya yakin pendekatan ‘humanistic’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berasaskan realiti kehidupan rakyat marhaen pada waktu ini akan mengurangkan tekanan kepada golongan terkesan dan sekaligus tidak menjejaskan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjana hasil secara lestari,” katanya lagi. – UMNO Online
