Suhaimi Gesa Kerajaan GRS Segerakan Tindakan Tangani Krisis Air Sabah
SANDAKAN, 15 Sept – Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menzahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menangani krisis bekalan air yang semakin meruncing di Sandakan.
Menurut beliau, masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku bukan sahaja menyusahkan ribuan penduduk, malah turut menjejaskan pelbagai aspek kehidupan harian serta kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

“Krisis air ini bukan isu baharu. Ia adalah masalah berulang yang telah lama membelenggu rakyat Sandakan. Malangnya, Kerajaan Negeri masih gagal mencari penyelesaian menyeluruh dan tuntas walaupun pelbagai desakan dan cadangan telah dibangkitkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Suhaimi menjelaskan bahawa beliau telah beberapa kali mengangkat isu ini di Dewan Rakyat bagi mendapatkan peruntukan segera daripada Kerajaan Persekutuan, namun kelemahan pelaksanaan di peringkat negeri terus menghampakan rakyat.
“Masalah utama bukan terletak pada kekurangan dana semata-mata, tetapi sikap tidak proaktif dan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, terutamanya Kementerian Kerja Raya Sabah, yang gagal bertindak segera,” katanya.
Beliau turut mengkritik ketiadaan pelan kecemasan yang efektif untuk menangani kerosakan infrastruktur utama seperti Loji Rawatan Air Segaliud, yang merupakan nadi utama pembekalan air bersih di daerah Sandakan.
“Sudah sepatutnya kerajaan negeri memiliki pelan tindakan kecemasan bagi mengelakkan gangguan besar sebegini. Malangnya, rakyat terus dibiarkan menderita tanpa penyelesaian konkrit,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaimi menegaskan bahawa pendirian dan teguran yang dibawa oleh wakil-wakil rakyat UMNO dan pembangkang bukanlah bermotif politik, sebaliknya demi membela nasib rakyat yang semakin hilang sabar terhadap kelemahan pengurusan kerajaan negeri.
“Isu air bersih adalah keperluan asas. Rakyat tidak menuntut bulan dan bintang, hanya mahu kehidupan yang terjamin dengan bekalan air yang stabil. Jangan sampai hilangnya keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan negeri akibat kegagalan seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera:
1. Mempercepatkan kerja-kerja pembaikan Loji Air Segaliud dan sistem agihan berkaitan;
2. Melaksanakan pelan jangka panjang untuk menaik taraf sistem bekalan air Sandakan;
3. Mewujudkan pelan kecemasan (contingency plan) bagi menghadapi gangguan bekalan di masa hadapan.
“Kerajaan GRS perlu berhenti memberikan janji kosong. Rakyat mahu tindakan, bukan alasan. Jangan biarkan kelemahan pentadbiran terus menjadi beban kepada rakyat,” tegas Suhaimi.
Beliau memberi jaminan akan terus memperjuangkan isu ini di semua peringkat termasuk DUN Sabah dan Parlimen bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sandakan dan Libaran sentiasa – UMNO Online
