BN Tegas Tolak Cadangan Rundingan Tidak Adil, Utamakan Kepentingan Sabah – Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 5 Sept – Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan sebarang cadangan agihan kerusi yang dianggap merugikan dan tidak adil dalam rundingan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pendirian BN itu konsisten dengan kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa parti itu tidak akan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati.
“BN berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan yang jelas merugikan dan tidak adil. Ini adalah soal prinsip – kami tidak akan bertolak ansur apabila asas rundingan seperti peraturan ‘incumbency’ tidak dipatuhi,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Jelas beliau, prinsip rundingan yang adil sudah pun dipersetujui, iaitu kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu kekal kepada parti asal dengan sebarang pertindihan atau pertukaran kerusi pula mesti melalui persetujuan bersama.
Salleh turut mendedahkan bahawa rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi hambar apabila BN hanya ditawarkan lapan kerusi, sedangkan BN memenangi 14 kerusi dalam PRN yang lalu.
“Malah, saya dengar ada pemimpin utama GRS menyatakan bahawa lapan kerusi itu pun sudah terlalu banyak untuk BN. Ini kenyataan yang menyakitkan hati dan seolah-olah memperlekehkan kekuatan serta sumbangan BN di Sabah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Salleh menegaskan bahawa BN sentiasa terbuka untuk perbincangan dalam suasana muafakat, dengan syarat kepentingan Sabah diutamakan dan rundingan dilakukan atas semangat saling menghormati.
“Kami tidak menutup pintu kepada sesiapa pun. Tetapi rundingan mesti berlaku secara adil, dan berpandukan prinsip yang dipersetujui. Kepentingan Sabah mesti mengatasi segala-galanya,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid memutuskan UMNO/BN Sabah tidak bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRN Sabah, bagaimanapun kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan. – UMNO Online