Adakah Penyatuan Orang Islam Itu Rasisme Kepada Orang Lain? – Annuar
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan semua pihak hadam titah Yang DiPertuan Agong (YDPA) yang menitahkan bahawa kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.
Justeru tegas Setiausaha Agung UMNO itu, tidak seharusnya wujud suara-suara yang berniat tidak baik terhadap kerjasama UMNO dan PAS serta mengaitkan dengan unsur-unsur ekstremisme dan Talibanisme.
“Kenapa harus ada suara-suara yang harus menyamakan termasuk tindakan-tindakan politik dari sebelah sini (pembangkang) nak dikaitkan dengan ekstremisme, Talibanisme dan sebagainya.
“Apakah penyatuan dan kesatuan orang Islam itu sesuatu ancaman atau bersikap rasis kepada kaum lain?
“Itu menandakan kedudukan Islam, sejarah Islam dalam negara ini tidak difahami oleh kita semua. Dalam Islam, Islam menentang Rasisme,” tegasnya dalam ucapannya membahas Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, tadi.
Malah Annuar turut memetik penegasan yang telah Nabi Muhammad SAW gariskan kepada umat Islam.
“Hadis nabi SAW yang bermaksud, bukan dari golongan kami orang yang menyeru kepada perkauman, bukan daripada kami orang yang berperang dalam jalan asobiyah (mengutamakan kaum sendiri hingga menzalimi orang lain), bukan daripada kami orang yang mati atas jalan perkauman.
“Malah Rasulullah dengan tegas berpesan kepada orang Islam “barangsiapa yang menyakiti ‘dzimmi’ (iaitu orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam) maka kata Rasulullah, akulah musuhnya dan barang siapa menjadikan aku musuh, aku akan mengalahkannya di akhirat”,” ujarnya lagi.
Tambah Annuar dua pernyataan tersebut merupakan bukti bahawa Islam tidak menganjurkan rasisme serta umat Islam di negara ini berjiwa besar menerima kepelbagaian bangsa dan agama.
“Saya ingin menegaskan kerana negara ini dipelopori, didiami dan dipimpin oleh orang beragama Islamlah negara ini yang tidak majmuk menjadi majmuk, berbagai-bagai kaum kerana orang Islam bersedia menerima kaum lain dan agama lain dalam negara ini.
“Kerajaan Melayu Melaka sebuah kerajaan ditadbir oleh pemerintah Islam dari satu peringkat ke satu peringkat, satu dekad ke satu dekad pada awalnya tidak majmuk akhirnya menjadi sebuah negara yang majmuk boleh diterima oleh penduduk asal, kerana apa?
“Kerana mereka Islam, kerana Islam tidak membenarkan mereka membenci kaum yang lain, kerana Islam boleh menerima orang lain atas prinsip ta’ayush, ‘co-existence’, kerana Islam menganjurkan wasatiyah (kesederhaan), kerana Islam tidak membezakan warna kulit hatta Islam menghormati kebebasan beragama,” jelasnya lagi.
Justeru yang menjadi persoalan adalah apabila terdapat segelintir pihak yang melanggar garis ‘dzimmi’ iaitu memusuhi, menyakiti malah mengkhianati Islam, tegasnya. – MediaUMNO