RUU URA: ‘Jangan Nanti Bumi Dipijak Milik Orang’ – Tengku Azman
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menyifatkan ‘pembangunan semula’ dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai bahasa halus dan cantik.
Namun kata beliau jika diteliti dan diperhalusi mengakibatkan perubahan diaspora terutamanya di kawasan bandar.
“Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya berperanan sebagai menetapkan dasar dan perancangan bandar tetapi di Malaysia kuasa ke atas tanah dan pembangunan adalah di bawah Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penggubalan akta ini dilihat untuk memastikan pembangunan yang lebih terancang, moden dan inklusif. Katanya akan berbincang dengan pemegang taruh untuk mencapai persetujuan. Andai kata persetujuan tidak dicapai?
“Dengan adanya akta ini maka mereka kemungkinan besar terpaksa melepaskan hartanah mereka dengan berat hati. Suatu mekanisma harus diperhalusi supaya ianya tidak disalah guna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau dalam pada itu mencadangkan beberapa perkara untuk diperhalusi antaranya kaedah ambang persetujuan.
Menurut Tengku Azman ini kerana jika terlalu rendah akan mengakibatkan pengambilan secara paksa.
Katanya, pihak berwajib juga perlu memastikan penduduk asal memiliki aset di kawasan yang sama, bukan diberi pampasan yang hanya mampu memiliki aset jauh di pinggir bandar.
“Pemeliharaan warisan setempat juga harus diambil kira dan diperkukuhkan. Risiko tanah terlepas ke pegangan asing serta penyalahgunaan dari segi urus tadbir, kelulusan yang memihak kepada sesuatu golongan secara tidak telus serta hak hak kepentingan kontraktor tempatan dalam proses pembangunan semula.
“Pembaharuan serta permodenan baik untuk rakyat dan negara. Tetapi apa jua pun tujuannya seharusnya dibincang dengan semua pihak baik dari parti parti politik , pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat agar kedua pihak dapat memperjelaskan pandangan masing masing.
“Contoh pembaharuan yang baik adalah 1 Razak Mansion di Kuala Lumpur dan kalau di luar negara adalah Kota Mekah dan Madinah. Tanah sebagai harta tetapi ia adalah simbolik maruah, jiwa, demi masa depan bangsa serta cucu cicit kita. Jangan nanti bumi dipijak milik orang,” ujar beliau. – UMNO Online