Keputusan RUU URA Menentukan Masa Depan Anak, Cucu
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya ini kerana melalui RUU URA ini ia memberikan kesan kepada pemilikan rumah.
“Esok akan dibentangkan RUU URA. Antara perkara yang kita tak boleh terima adalah untuk menurunkan ambang persetujuan. Kalau dulu nak bangunkan satu kawasan bandar, mesti dapatkan 100 peratus persetujuan.
“Tapi kali ini nak turun kepada 80 peratus dan juga 75 peratus. Maksudnya, rumah kita, tanah kita adalah milik majoriti. Bukan milik kita.. ini sangat-sangat bertentang dalam juga dalam Perlembagaan. Kerana setiap manusia ataupun setiap rakyat Malaysia dalam negara ini mestilah dilindungi,” katanya menerusi satu hantaran videonya di Facebook.
Dr Akmal dalam pada itu berkata ini kerana RUU URA akan memberikan kesan kepada generasi masa hadapan.
Mengulas lanjut beliau turut menyamakan pembangunan Razak Mansion yang dilaksana pada 2017 yang mendapat persetujuan 100 peratus.
“Keputusan kita hari ini, akan menentukan masa depan anak dan cucu kita.
“Kalau dulu zaman Barisan Nasional (BN) boleh kita bangunkan Razak Mansion dengan persetujuan 100 peratus, kenapa tidak pada hari ini?
“Kita tolak dulu rang undang-undang ini dan kita tambah baik barulah kita bentangkan semula. Keputusan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan generasi kita pada masa akan datang,” ujar beliau.
Untuk rekod RUU tersebut menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai.
Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertahankan RUU itu dengan menyatakan ia memberi manfaat kepada pemilik rumah termasuk jaminan unit pengganti lebih besar serta nilai lebih tinggi tanpa kos tambahan. – UMNO Online