Dr Akmal Mengaku Tidak Bersalah Timbulkan Kegusaran Awam
BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.
Beliau membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Saya faham dan tidak mengaku bersalah. Saya mohon dibicarakan,” kata Dr Muhamad Akmal kepada mahkamah.
Dr Muhamad Akmal, 37, didakwa membuat kenyataan berunsur kegusaran awam menerusi akaun Facebook miliknya di pautan https://www.facebook.com/m.akmalsaleh/videos/1091167866480546 pada jam 3 petang, 11 Ogos lalu.
Kenyataan itu didakwa boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Nordin Ismail, dibantu lima Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, Zulfadzly Hassan, Nor Shakila Dahari, Anis Suhada Rosli dan Sariza Ismail.
Mohd Nordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Dr Muhamad Akmal.
“Walaupun kes ini tidak boleh dijamin, namun terpulang kepada budi bicara mahkamah jika ingin memberikan jaminan. Sekiranya mahkamah mahu memberi jaminan, saya mohon jumlah dalam lingkungan yang ditetapkan. Oleh itu, saya mohon jaminan RM10,000 terhadap tertuduh,” katanya.
Dr Muhamad Akmal diwakili 10 peguam termasuk Aizat Azam, Syahrul Syazwan Salehin, Hafiz Norkhan, Datuk Mohd Imran Tamrin, Syafiq Bahtiar, Zaki Shah, Fazreen Izuan dan Shakeel Saifuzzaman.
Dalam rayuan terhadap jumlah jaminan, Aizat menjelaskan bahawa anak guamnya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka serta mempunyai tanggungan keluarga.
“Anak guam kami mempunyai tanggungan iaitu seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain memerlukan kasih sayang seorang bapa.
“Beliau juga merupakan ADUN Merlimau dan Exco Kerajaan Negeri Melaka bagi portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Oleh itu, anak guam kami ada hak untuk dibebaskan kerana perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat bagi memastikan masalah di kawasannya selesai,” katanya.
Mohd Imran pula menegaskan bahawa jaminan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh.
“Jaminan yang ditawarkan tidak sepatutnya terlalu tinggi kerana ia bukan kesalahan serius. Tertuduh hadir sendiri ke mahkamah pada hari ini dengan rela hati, membuktikan beliau bertanggungjawab dan profesional serta akan memberi kerjasama penuh.
“Tiada sebab untuk beliau melarikan diri atau gagal hadir ke mahkamah nanti. Oleh itu, saya mohon wang jaminan ditetapkan sebanyak RM2,000,” katanya.
Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menangguhkan kes sehingga 22 September ini untuk serahan dokumen.
Dalam pada itu, Syahrul Syazwan memohon kepada mahkamah agar Dr Muhamad Akmal tidak diletakkan di dalam lokap sementara menunggu wang jaminan dibayar di kaunter mahkamah.
Nurul Rasyidah membenarkan permohonan tersebut.
Dr Muhamad Akmal keluar dari kamar mahkamah pada jam 10.21 pagi selepas wang jaminan dibayar.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mengetuai 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang selepas insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan.
Susulan daripada itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan. – SinarHarian.com.my