Pemuda UMNO Teguh Bersolidariti Bersama Dr. Akmal, Isu Jalur Gemilang Tidak Boleh Dipandang Remeh
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan pada hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memaklumkan bahawa pertuduhan adalah berhubung isu yang diperjuangkan oleh Dr. Muhamad Akmal mengenai insiden ‘Jalur Gemilang yang’ diterbalikkan dan isu ini telah mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami yakin bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak bersalah dan akan dibuktikan demikian di mahkamah. Institusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah suara anak muda dan kami akan terus berdiri teguh di belakang Dr. Akmal serta memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Azmawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata, semua ahli dan penyokong digesa bertenang serta menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung.
“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan menggesa semua ahli dan penyokong untuk bertenang dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan sentiasa bersolidariti bersama Dr Akmal,” katanya lagi.
Demikian juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mohd Noor Fairus Mat Drus yang berpegang teguh pada prinsip mempertahankan maruah negara, menghormati simbol kebangsaan, dan memperjuangkan perpaduan rakyat.
“Pemuda UMNO Tanjung Piai akan terus memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat tentang erti patriotisme dan cinta tanah air.
“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai menegaskan bahawa isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik tidak boleh dipandang ringan. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan, dan perjuangan negara.
“Pemuda UMNO Tanjung Piai merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah segera mengambil tindakan sewajarnya. Pendekatan profesional pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan dan memastikan insiden ini tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan provokasi atau perpecahan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Azhar Mail menegaskan tindakan sama ada disengajakan atau sebaliknya, tidak boleh dianggap remeh atau sekadar satu kesilapan teknikal.
“Simbol negara mahupun negeri seperti Jalur Gemilang membawa erti yang mendalam kepada perpaduan dan kedaulatan. Melihat bendera negara dipasang secara terbalik bukan sahaja mencetuskan rasa tidak senang, bahkan boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Pemuda UMNO Pontian menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menghormati simbol-simbol kenegaraan. Jadikan Jalur Gemilang lambang kesatuan, bukan perpecahan,” ujarnya.
Terdahulu pada Khamis lalu Pemuda UMNO telah mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ia disebabkan tular melalui media sosial yang memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman daripada warganet. – UMNO Online