Kesan Sampingan Vaksin COVID-19, Ismail Sabri Dapatkan Penjelasan Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bertanya berkenaan sejauh mana pengambilan vaksin COVID-19 memberi kesan terhadap rakyat.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana adanya spekulasi oleh golongan antivaksin terhadap suntikan vaksinasi tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum bahawa kejayaan Malaysia menyekat penularan COVID-19 adalah disebabkan oleh kerjasama rakyat dan juga pengambilan vaksin.
“Walau bagaimanapun terdapat khabar angin terutamanya daripada golongan antivaksin yang menyatakan bahawa pengambilan vaksin menyebabkan kesan.
“Saya mohon menyatakan apakah kesan jangka panjang pengambilan vaksin yang telah dikenalpasti oleh kementerian dan juga berapakah jumlah penerima vaksin di Malaysia yang dilaporkan mengalami kesan sampingan yang serius dan juga apakah jenis penyakit akibat pengambilan vaksin tersebut,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan hari ini di Dewan Rakyat.
Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan KKM telah mengemukakan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan dua tahun lalu.
Namun katanya kajian berkenaan tentang kesan jangka panjang vaksin masih dijalankan.
“Walaupun demikian, sememangnya kita mengakui terdapat kes-kes post COVID-19 yang berlaku di mana pesakit yang mengalami jangkitan COVID-19 yang telah keluar daripada hospital dalam tempoh sebulan ke dua bulan masih lagi berdepan dengan masalah COVID dan juga berlaku kematian.
“Buat masa ini saya tidak dapat memberi secara spesifik penyakit-penyakit yang dikait rapatkan dengan kesan vaksin namun telah pun mengambil beberapa tindakan dan juga semakkan berkenaan dakwaan berkenaan tentang jangkitan ataupun kesan pemberian vaksin dan setakat ini kerajaan meneliti kajian-kajian tersebut.
“Kita menganggap bahawa kesan daripada pemberian vaksin ketika pandemik COVID-19 itu sebenarnya banyak membantu kerajaan untuk mengelak kadar kematian yang tinggi ketika itu dan juga vaksin sebenarnya memberi perlindungan kepada penerima-penerima vaksin ketika itu,” ujar beliau.
Katanya KKM juga bersedia menerima laporan berkenaan dakwaan kesan vaksin khususnya pemberian vaksin COVID-19 memudaratkan pesakit.
“Kita mempunyai senarai di dalam kertas putih untuk diberikan pampasan sekiranya dakwaan tersebut adalah benar,” ujar beliau. – UMNO Online