Detik Hitam Tabung Haji Harus Dijadikan Pengajaran – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa hari ini menggesa kerajaan untuk melaksanakan tindakan tegas terhadap segelintir pihak yang menyebarkan maklumat palsu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH)

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata ia penting bagi memastikan TH tidak lagi berdepan dengan krisis kepercayaan seperti yang berlaku pada 2018.

“Sekarang ini di group-group WhatsApp masjid dan kampung, heboh mengenai TH diuruskan oleh orang Cina dan ada yang menghasut supaya pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.

“Detik hitam Tabung Haji pada tahun 2016 harus kita jadikan pengajaran. Yang mana sehari selepas artikel penghasut bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” tersiar pada 9 Februari 2016. Telah berlakunya peningkatan pengeluaran luar biasa oleh para pendeposit iaitu sebanyak RM41 juta pada 10 Februari, diikuti RM49.8 juta pada 11 Februari, RM27.9 juta pada 12 Februari dan dianggarkan nilai keseluruhan yang terlibat sekitar RM500 juta,” katanya.

Mohd Isam berkata demikian kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau tragedi itu memberikan impak besar apabila seramai 3,954 pendeposit telah menutup akaun dan seramai 3,105 pendeposit telah hilang kelayakan menunaikan haji pada waktu itu.

“Soalan saya YB Menteri, apakah usaha kerajaan untuk mengekang sekerasnya-kerasnya cubaan pembinaan naratif dan dakwaan jahat terhadap institusi Tabung Haji di pelbagai platform media sosial?

“Saya mencadangkan supaya tindakan tegas mengikut lunas perundangan diambil terhadap individu yang memanipulasi dan menyebarkan maklumat tidak benar terhadap TH ini dengan segera. Tolonglah, jangan rosakkan institusi berkepentingan Melayu dan Islam ini kerana nafsu serakah politik,” tegas beliau.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Dr Na’im berkata beliau mengambil maklum tentang beberapa video di media yang mengajak umat Islam di negara ini mengeluarkan simpanan daripada TH.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang meneliti dan seterusnya akan mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab.

“Maka dalam konteks itulah di pihak kerajaan, kita sedang meneliti dan juga tindakan telah diambil, contohnya aduan ataupun laporan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), laporan polis juga telah dibuat.

“Hasutan-hasutan sebegini tidak memberikan manfaat ataupun kebaikan kepada usaha untuk kita mempertahankan TH ini,” ujar beliau.

Selain itu kata Dr Na’im, kempen secara meluas turut dilaksanakan menerusi agensi di bawah JPM Hal Ehwal Agama.

“Agensi-agensi agama khususnya TV Hijrah, IKIM dan sebagainya akan terus mengadakan kempen penjelasan secara terperinci untuk menjelaskan isu-isu yang berkaitan untuk memberikan penjelasan ini kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79