Khaled Tegaskan Pertahanan Sempadan Negara Terus Diperkukuh
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kerajaan amat mengambil berat isu keselamatan dan pertahanan wilayah Sabah, kerana lokasinya terletak di sempadan antarabangsa yang kritikal serta strategik dan Kementerian Pertahanan memberikan jaminan bahawa wilayah Sabah adalah aman dan selamat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pada masa sekarang, keselamatan sempadan darat dan laut antarabangsa di sekeliling Sabah dikawal melalui pelbagai lapisan pertahanan oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi pelaksanaan pelbagai operasi.
Menurut beliau kawalan keselamatan oleh trup ATM turut dibantu dan dilaksanakan secara bersepadu dengan operasi daripada agensi keselamatan lain seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Selain itu, operasi rondaan zon maritim Sabah, khususnya Laut Sulu, juga dilaksanakan secara koordinasi oleh kapal-kapal peronda Malaysia, Filipina dan Indonesia di perairan masing-masing melalui Trilateral Maritime Patrol (TMP).
“Secara ringkasnya, di sepanjang perairan Sabah, sama ada di Laut China Selatan, Laut Sulu atau Laut Sulawesi, operasi keselamatan dan pengawasan sentiasa dilaksanakan sepanjang masa, selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu,” katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Khaled seterusnya menegaskan kementerian juga komited memperkasakan keupayaan pertahanan di Sabah secara berterusan pada jangka masa panjang.
Ini katanya lagi termasuk dengan perancangan pemasangan radar-radar pertahanan udara jarak jauh di Pulau Layang-Layang dan Tawau bagi liputan 360°, untuk meningkatkan detection capability serta membantu memperkukuh penguasaan udara (air superiority) di wilayah Sabah.
“Pengukuhan air superiority ruang udara Sabah akan diperkasakan lagi dengan perolehan Unmanned Aerial System (UAS) Anka, pesawat LCA FA-50 serta Maritime Patrol Aircraft (MPA).
“Kini, pengoperasian sebanyak 8 unit Coastal Surveillance System (CSS) Radar sedang dilaksanakan oleh Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) bagi memantau sebarang pergerakan atau ancaman yang masuk melalui perairan Sabah. ATM juga sedang merancang perolehan tambahan 6 unit Radar CSS bagi mengukuhkan lagi pengawasan perairan wilayah tersebut.
“Pendek kata, kementerian membuat perancangan agar, tiada kawasan di Sabah, dan Malaysia amnya, yang kita tidak akan nampak. Kita akan ada ‘mata’ untuk memantau dan mengawasi keselamatan di mana-mana sahaja di seluruh negara,” tambahnya. – UMNO Online