Bidas MUDA: Budaya Johor Adalah Bekerja, Bukan Bermain Persepsi
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Budaya Johor adalah bekerja bukan sekadar bermain persepsi dan politik sempit, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Ts Mohd Syes Mohamed, membidas Parti MUDA.
Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyokong penuh usaha kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri Johor.
“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bahawa gejala buli mesti dibendung dengan segera untuk memastikan sekolah dan institusi pendidikan menjadi kawasan selamat kepada anak-anak.
“Pemuda UMNO Johor memandang serius isu buli kerana ia bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi jenayah sosial yang mampu merosakkan kehidupan, menghancurkan keluarga dan menggugat kesejahteraan masyarakat. Justeru, Pemuda UMNO Johor menyokong penuh usaha kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri Johor.
“Ketika kerajaan negeri berusaha membanteras budaya buli, Timbalan Ketua Biro Komunikasi MUDA, Rasid Abu Bakar pula memilih untuk mengheret rakyat dengan kempen politik murahan. Ini satu tindakan yang langsung tidak membantu rakyat dan ia seolah-olah cuba menutup kelemahan MUDA,” katanya.
Ujarnya, wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi mandat untuk menjalankan tugas bagi menyelesaikan isu rakyat.
“Wakil rakyat seperti ADUN Puteri Wangsa (MUDA) diberi mandat dan menjadi tugas mereka untuk menyelesaikan isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di Johor, bukan sekadar beretorik tanpa penyelesaian.
“Johor terkenal dengan politik matang dan beradab. Politik menuduh, menghina dan mencipta persepsi sempit bukanlah budaya Bangsa Johor. Pemuda UMNO Johor berpegang bahawa budaya Johor adalah bekerja, menjaga maruah negeri dan membina masa depan, bukan sekadar bermain persepsi serta politik sempit.
“Sehingga kini, tiada dasar jelas, program pembangunan atau inisiatif ekonomi yang dibawa MUDA di Johor. Kehadiran mereka hanya terhad kepada kenyataan media, berbeza dengan rekod UMNO Johor yang terbukti membangunkan pendidikan, ekonomi, perumahan dan kebajikan rakyat sejak puluhan tahun,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Negeri Johor tidak akan hanyut dalam politik sempit dan kekal memberi fokus untuk membantu membangunkan Johor.
“Rasid menuduh UMNO Johor mengampu pemimpin. Hakikatnya, MUDA sendiri hidup atas budaya ‘menumpang isu’ semata-mata. Mereka tidak ada akar perjuangan yang kukuh di Johor, sebaliknya hanya menunggu peluang untuk ‘menangguk di air keruh’ setiap kali ada isu nasional.
“Jika benar mereka mahu bercakap soal maruah khususnya di Johor, maka sepatutnya mereka tunjukkan hasil kerja dan penyelesaian, bukan sekadar menabur kata-kata penuh kebencian.
“Pemuda UMNO Johor tidak akan hanyut dalam politik sempit. Fokus kami kekal membantu membangunkan Johor, membela rakyat dan memastikan negeri terus ke hadapan. Rakyat Johor matang menilai antara parti yang benar-benar bekerja dengan parti yang hanya pandai bersuara tanpa hasil.
“Akhir kata, Pemuda UMNO Johor ingin mengajak MUDA untuk fokus bekerja, menyumbang idea pembangunan Johor dan mengelakkan mainan politik murahan,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan MUDA menempelak pimpinan UMNO Johor yang mengkritik kempen #DakwaSemulaZahid dan menolak dakwaan yang inisiatif itu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.
Timbalan Ketua Biro Komunikasi Muda, Rasid Abu Bakar menegaskan kempen untuk mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berasaskan prinsip undang-undang, bukannya politik. – UMNO Online