KKR Pantau Rapi Projek Pan Borneo, Pastikan Disiap Ikut Jadual
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer dibahagikan kepada 35 Pakej Kerja.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata bagi kawasan Parlimen Sipitang, dua Pakej Kerja yang terlibat ialah Pakej Kerja 1 (WP01) iaitu Sindumin ke Melalia sejauh 28.5 km, manakala Pakej Kerja 2 atau WP02 iaitu Melalia ke Beaufort sejauh 34.7 km.
“Skop kerja utama bagi kedua-dua pakej adalah melibatkan pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong, pembinaan jambatan baharu, naik taraf sistem saliran, serta menambahbaik infrastruktur keselamatan jalan.
“Sehingga 31 Julai 2025, kemajuan fizikal Pakej WP01 adalah sekitar 84.22 peratus berbanding jadual sebanyak 87.43 peratus iaitu lewat sebanyak 3.21 peratus,” katanya ketika menjawab soalan oleh Datuk Matbali Musah (Sipitang-GRS).
Manakala bagi kemajuan fizikal Pakej WP02, Ahmad berkata 58.14 peratus berbanding sasaran 60.89 peratus iaitu lewat sebanyak 2.75 peratus daripada perancangan.
Menurut beliau kedua-dua pakej mencatat kelewatan berbanding jadual asal adalah disebabkan oleh keadaan cuaca tidak menentu dan musim hujan berpanjangan, isu pengambilan balik tanah di beberapa lokasi kritikal dan kekurangan tenaga kerja.
“Kementerian menyasarkan pakej WP01 dan WP02 dapat disiapkan secara keseluruhan menjelang suku pertama tahun 2027, tertakluk kepada kelancaran kerja-kerja di lapangan dan prestasi pihak kontraktor.
“Pemantauan rapi oleh JKR Sabah dan KKR sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kontraktor mematuhi jadual pemulihan (catch-up plan) yang telah dirancang.
“Kementerian ini mengambil maklum akan kebimbangan rakyat di Sipitang terhadap kemajuan projek ini,” ujar beliau.
Beliau bagaimanapun menegaskan dakwaan kononnya projek sakit atau terbengkalai di Sabah dan Sarawak berpunca daripada amalan ‘projek anugerah politik’ atau campur tangan orang dalam adalah tidak benar, sebaliknya ia hanya persepsi dan tuduhan.
Menurut beliau pihaknya sentiasa memantau rapi perkembangan projek secara dekat dengan teliti bagi memastikannya dapat disiapkan mengikut jadual. – UMNO Online