Puteri UMNO Sabah Terus Solidariti Atas Kematian Zara, Tuntut Siasatan Adil

KUALA LUMPUR, 15 ogos – Pergerakan Puteri UMNO Sabah terus bersolidariti dan terus menuntut keadilan atas kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar yang ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, bulan lalu.

Ketuanya, Ummi Nabilah Jamal berkata pihaknya sepakat menyokong penuh usaha keluarga mangsa untuk menuntut siasatan yang adil, menyeluruh dan berpandukan prinsip undang-undang.

“Saya mewakili seluruh Ketua-Ketua Puteri UMNO Bahagian di negeri ini untuk menyatakan pendirian kolektif kami dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan terhadap tragedi yang menimpa adik Zara Qairina Mahathir.

“Kami bersatu hati menyatakan sokongan padu terhadap usaha keluarga mangsa dalam menuntut siasatan yang telus, menyeluruh dan berlandaskan prinsip undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Papar, dalam pada itu turut sama menggesa segala kekurangan dalam siasatan diperbaiki dengan penuh keterbukaan serta menentang sebarang percubaan untuk menyembunyikan, mempercepat atau melemahkan usaha mencari kebenaran.

Katanya perjuangan mereka ini tidak bersifat politik, sebaliknya atas dasar tanggungjawab sesama insaniah dan nilai kewanitaan dalam membela nasib seorang gadis yang teraniaya.

“Kami mendesak agar sebarang kelemahan dalam proses siasatan ditangani secara terbuka, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menutup, mempercepat atau melemahkan pencarian kebenaran.

“Perjuangan ini pada masa yang sama ia juga menjadi simbol kepada ribuan lagi anak-anak perempuan Sabah yang juga berhak untuk hidup, belajar dan dibesarkan dalam persekitaran yang selamat dan terpelihara.

“Kami percaya, jika suara wanita muda bersoladariti, kebenaran tidak akan dapat disembunyikan. Puteri UMNO Sabah akan terus komited sebagai pejuang keadilan yang tidak tunduk pada ketakutan atau manipulasi,” ujar beliau.

Terdahulu Polis mengesahkan laporan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dapatan itu diperoleh hasil bedah siasat pada 10 Ogos lalu. Katanya, proses itu dihadiri tiga doktor pakar forensik terdiri dari Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dibantu dua lagi doktor Hospital Queen Elizabath. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79