RMK-13: Shamshulkahar Cadang Wujudkan Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mencadangkan agar Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur diwujudkan selaras dengan aspirasi Penyeimbangan Kemajuan Ekonomi Wilayah (B5), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Ujarnya, koridor tersebut amat berpotensi dengan sumber ekonomi pertanian seperti kelapa sawit, getah, ternakan, serta industri hiliran.
“Selaras dengan aspirasi B5 (RMK-13) untuk memastikan pembangunan wilayah yang inklusif dan seimbang, Jempol mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur iaitu kawasan pembangunan ekonomi, sosial di Jempol yang bersempadan dengan Negeri Pahang serta Johor.
“Koridor ini amat berpotensi dengan sumber ekonomi pertanian seperti kelapa sawit, getah, ternakan, serta industri hiliran berasaskan agri-komoditi dan pusat janaan tenaga solar (renewable energy) untuk zon selatan tanah air.
“Penubuhan Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur ini bertujuan memajukan daerah Jempol dan sekitar dengan fokus kepada industri agri-komoditi dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan termasuk generasi muda FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat kajian terperinci berkenaan cadangan jajaran Lebuhraya Seremban – Kuala Pilah – Jempol.
“Kejayaan inisiatif koridor ekonomi ini amat bergantung kepada akses jalan iaitu pembinaan Lebuhraya Seremban–Kuala Pilah–Jempol yang akan menjadi laluan utama daripada Seremban ke Kuala Pilah–Jempol dan seterusnya ke Kuantan di kedua hala.
“Untuk makluman dewan, pihak JKR telah membuat kajian terperinci berkenaan cadangan jajaran lebuhraya ini. Kajian ini disokong oleh laporan konsultan daripada sebuah syarikat swasta yang sudah bersedia untuk membina sebuah lebuhraya bertol sepanjang 48km daripada Seremban ke Jempol.
“Dalam laporan konsultan tersebut, laluan dari Jempol–Kuala Pilah–Seremban merekodkan 34,940 pergerakan trafik dalam tempoh 16 jam kedua hala untuk hari biasa dan ianya meningkat dua kali ganda pada hujung minggu dan berkali ganda pada musim perayaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan pembinaan lebuh raya tersebut mampu menyuraikan trafik dan meningkatkan limpahan ekonomi Jempol sebagai kawasan cadangan Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur.
“Mengikut unjuran laporan tersebut, kadar pergerakan trafik akan naik 3% peratus setahun menjadikan jumlah trafik harian sebanyak 41,723 kenderaan sehari menjelang tahun 2030.
“Cadangan pembinaan lebuhraya ini mampu menyuraikan trafik dan meningkatkan limpahan ekonomi Jempol sebagai kawasan cadangan Koridor Ekonomi Negeri Sembilan Timur.
“Cadangan projek ini telah dibangkitkan dan dibahaskan bersama oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Jempol sejak dua tahun yang lalu. Persoalan Jempol kepada Menteri Kerja Raya, apakah pendirian terkini kerajaan berkenaan pembinaan Lebuhraya Seremban-Kuala Pilah-Jempol ini?” soalnya. – UMNO Online