KPWKM Bangunkan Pelan Tindakan OKU Baharu, Fokus Pemantauan dan Akauntabiliti – Noraini
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ketika ini sedang membangunkan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) yang baharu sebagai kesinambungan kepada PTOKU sedia ada.
Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program serta inisiatif yang disediakan dalam pelan tindakan yang lalu telah menerapkan Incheon Strategy to “Make the Right Real” for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific dan turut dijadikan sebagai rujukan KPWKM dalam pembangunan PTOKU yang baharu.
Menurut beliau KPWKM telah melaksanakan beberapa siri libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari setiap tujuh kategori ketidakupayaan, ahli akademik, Anggota Lantikan (Individu) Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU), Kementerian dan Agensi Kerajaan.
“Objektif utama perbincangan adalah untuk mengumpul input isu-isu OKU yang harus diberi perhatian dalam PTOKU yang baharu selain menjelaskan matlamat PTOKU dan manfaat inisiatif Kerajaan kepada OKU.
“Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang bersidang pada 23 Julai 2025 telah mengambil maklum laporan pencapaian PTOKU sedia ada dan berpandangan supaya:
(i)kadar pencapaian 69.09% bagi program PTOKU sedia ada yang dikategorikan sebagai berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan perlu dipertingkatkan dalam PTOKU yang baharu;
(ii)setiap kementerian atau agensi kerajaan perlu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan program seperti yang disenaraikan;
(iii)setiap kementerian atau agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan PTOKU yang baharu mengambil tindakan sewajarnya agar semua program yang akan disenaraikan kelak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan;
(iv)pembangunan PTOKU yang baharu mengenalpasti mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sesuai bagi setiap program di bawah PTOKU; dan
(v) pembangunan PTOKU yang baharu akan turut mengambil kira Dasar OKU sedia ada, selain rujukan kepada prestasi pencapaian PTOKU sedia ada, Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] serta pandangan MKBOKU.
“MKBOKU juga telah meminta semua Kementerian dan Agensi terlibat untuk melaporkan status tindakan susulan yang diambil terhadap program yang tidak mencapai 100% pelaksanaan dalam PTOKU sedia ada walaupun ia telah melebihi garis masa yang disasarkan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi cara sedemikian juga adalah sebagai penambahbaikan mekanisme pemantauan, pelaporan dan akauntabiliti semua pihak terlibat ke atas perkara-perkara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan mereka.
Terdahulu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan apakah kesinambungan kepada Pelan Tindakan OKU (2016-2022) dan adakah Kementerian sudah menjalankan audit kepada keseluruhan pelan tersebut serta teras strategiknya. – UMNO Online