Titah Adendum: Peguam Najib Gesa Kes Didengar Segera
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta Mahkamah Persekutuan untuk segera mendengar permohonan semakan kehakiman anak guamnya susulan keputusan menolak rayuan Peguam Negara (AG) berhubung Titah Adendum.
Muhammad Shafee berkata, permohonan itu dibuat kerana keperluan mendesak menyelesaikan isu berkaitan dakwaan wujudnya perintah tambahan diraja dan kemungkinan kesannya terhadap hukuman anak guamnya.
Beliau membuat permintaan itu sejurus selepas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof menyampaikan penghakiman sebulat suara menolak rayuan terakhir AG untuk menghalang usaha Najib mendapatkan tahanan rumah.
Barisan panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim berkata, perkara itu perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada AG sebelum mahkamah dapat mempertimbangkan.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, anak guamnya tidak mampu kehilangan satu hari pun untuk mendapatkan hak menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Katanya, ia kerana mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan sebelum ia boleh didengar.
Muhammad Shafee: Memandangkan kemungkinan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kes ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum beliau dapat menjalani tahanan rumah.
Hasnah: Tan Sri (Muhammad Shafee) hanya membuat andaian.
Muhammad Shafee: Walaupun kita berusaha sedaya mungkin, ia tetap akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.
Hasnah: Saya Ketua Hakim Malaya. Saya beri arahan tegas supaya kes ini diselesaikan dalam tempoh sembilan hingga 10 bulan. Jika anda mahu kami mendengar perkara ini, kami hanya ada kira-kira tiga bulan sebelum bersara. Kami tidak mahu melengah-lengahkan perkara ini.
Hasnah berkata, barisan hakim bukan robot kerana mereka memerlukan masa untuk membaca dokumen dan berbincang mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan.
Beliau menegaskan bahawa perkara itu perlu diteruskan ke pendengaran penuh semakan kehakiman di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.
Menurutnya, sekiranya mahkamah tertinggi mendengar kes berkenaan, ia akan menafikan hak pihak-pihak untuk membuat rayuan kerana keputusannya adalah muktamad.
Muhammad Shafee berkata, anak guamnya sanggup mengambil risiko melepaskan hak untuk merayu demi memastikan perkara itu dapat diselesaikan tanpa sebarang kelewatan.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kes itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi dan bukan di mahkamah tertinggi.
Hasnah kemudian mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan 18 Ogos depan untuk tarikh pengurusan kes.
Beliau turut mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar kes itu sebulan kemudian iaitu pada September ini selepas semua pihak memfailkan afidavit secara serentak.
Terdahulu, AG gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini, untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum. – HMetro