Iktibar Krisis Pencemaran Sisa Toksik, Kerajaan Jangan Lambat Bertindak


JOHOR BAHRU, 15 Mac – Kegagalan Kerajaan Negeri Johor yang ditadbir oleh Menteri Besarnya (MB), Datuk Osman Sapian melaksanakan tindakan awal dalam kes pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim yang akhirnya mengundang krisis di seluruh Pasir Gudang adalah satu iktibar terbaik.

Namun begitu, ADUN Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa hairan kerana sehingga kini tiada wakil khas Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai jurucakap rasmi untuk memberikan informasi dan perkembangan terkini berkenaan apa yang berlaku.

“Ini merupakan bencana pertama yang perlu ditangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor. Meskipun mereka boleh bertindak dengan lebih pantas, namun apa sahaja tindakan untuk membaiki keadaan adalah amat dihargai.

“Di dalam sebarang inisiatif pengurusan krisis, antara perkara utama yang perlu diambil kira adalah komunikasi dan penyampaian mesej yang benar. Jika ini tidak dapat diuruskan dahulu, maka pelbagai spekulasi boleh merebak dan akan memburukkan lagi keadaan sedia ada.

“Tambahan lagi, ahli keluarga mangsa yang terjejas juga berhak untuk menerima informasi yang benar dan terkini, terus daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, kenyataan MB mewakili Kerajaan Negeri serta EXCO telah dibuat pada 12 Mac 2019, iaitu selepas lima hari gelombang pertama kejadian ini berlaku.

“Sehingga kini, jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak. Sepatutnya Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim ini dengan diaktifkan lebih awal atas dasar bencana seperti ini boleh merebak dengan pantas dan merbahaya pada penduduk sekitar.

“Seterusnya, sekolah-sekolah yang terlibat di sekitar radius Sungai Kim Kim sepatutnya ditutup terus sejak dari gelombang pertama lagi. Ia perlu dilakukan sehingga pihak berkuasa benar-benar pasti tiada perkara yang lebih mudarat akan terjadi.”

Katanya, dimaklumkan bahawa kerja pembersihan sudah dijalankan seawal Khamis lepas, maka sekali lagi amatlah wajar sekolah-sekolah berdekatan ditutup sehingga proses pembersihan selesai atau keadaan kawasan sekitar lebih selamat untuk para pelajar dan penduduk sekitar berurusan.

“Kerajaan Negeri harus merangka lebih banyak inisiatif, undang-undang serta mengukuhkan penguatkuasaannya agar tragedi ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.”

Dalam masa yang sama, beliau bersama warga Layang-Layang melahirkan rasa simpati kepada pelajar-pelajar dan juga keluarga-keluarga yang terkesan akibat bencana ini.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Polis Di-Raja Malaysia, dan semua agensi-agensi yang terlibat dalam membantu pengurusan bencana ini,” katanya lagi

Bencana alam sekitar itu turut memaksa 111 buah sekolah rendah dan menengah selain 92 tadika dan taska ditutup di daerah ini untuk keselamatan para pelajar sekali gus sebagai langkah mencegah peningkatan pesakit. Sejumlah 947 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI. Seramai 166 orang dirawat di HSI. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.