Kenyataan Hina Wanita: Rosni Sohar Kecam Tindakan Pemimpin Muda Pas
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Rosni Sohar mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang didakwa menghina wanita dengan menyamakan mereka yang memegang jawatan kepimpinan sebagai “lembu betina”.
Menurut Rosni, analogi yang digunakan itu bukan sahaja bersifat biadab, tetapi turut memperlekeh maruah dan keupayaan wanita sebagai pemimpin dalam masyarakat.
“Analogi dangkal ini mencerminkan sikap seksis, tidak sensitif dan tidak beradab terhadap perjuangan wanita yang selama ini menyumbang besar kepada pembangunan negara,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Lebih mengecewakan, katanya yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, kenyataan Salman turut dipertahankan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sekali gus memberi gambaran seolah-olah budaya menghina wanita dibenarkan dalam kalangan pimpinan tertinggi parti berkenaan.
Rosni turut mengingatkan bahawa kenyataan seumpama itu bertentangan dengan ajaran Islam yang menyeru umatnya agar berbicara dengan hikmah dan sopan, seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nahl ayat 125.
“Menyamakan wanita dengan haiwan adalah satu bentuk penghinaan yang jelas mencemarkan nilai kemanusiaan dan mencalar imej kepimpinan Islam itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam sendiri mengiktiraf sumbangan dan kepimpinan wanita, seperti yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh wanita Islam terdahulu antaranya Ratu Balqis, Saidatina Khadijah RA dan Saidatina Aisyah RA.
Tambahnya, wanita di Malaysia juga telah membuktikan kebolehan memimpin dengan cemerlang dalam pelbagai sektor termasuk politik, pentadbiran, ekonomi dan sosial.
“Ramai pemimpin wanita negara telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Mereka memimpin dengan hikmah, integriti dan keberanian – jauh lebih baik daripada segelintir lelaki yang hanya tahu memperlekeh dari tepi.”
Dalam pada itu, Rosni menyeru semua pemimpin politik, khususnya dari Pas, agar menghentikan retorik yang bersifat jumud dan menghina wanita.
“Wanita bukan lembu. Wanita bukan simbol kelemahan. Wanita adalah tulang belakang keluarga, masyarakat dan negara,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa agar semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, untuk bersama-sama menghormati dan memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan negara. – UMNO Online