Puteri UMNO Terus Teguh Di Usia 24 Tahun – Shamellya
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli Puteri UMNO sempena ulang tahun ke-24 penubuhan sayap itu yang disambut pada tahun ini.
Dalam kenyataannya, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada ahli Puteri UMNO di seluruh negara atas kesetiaan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, walaupun pelbagai cabaran melanda parti sejak dahulu.
“Terima kasih Puteri UMNO kerana terus bertahan hingga ke usia 24 tahun hari ini. Terima kasih kerana masih kekal setia bersama parti yang banyak liku perjuangannya,” ujar Shamellya.
Beliau turut menghargai pengorbanan ahli-ahli Puteri yang sanggup membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai pelajar, anak, ibu, isteri, mahupun wanita bekerjaya, namun tetap teguh bersama perjuangan parti.
“Masa yang kalian sumbangkan adalah masa yang tidak akan kembali. Ia sangat berharga dan tidak ternilai untuk UMNO yang kita cintai bersama,” katanya.
Tambah beliau, kekuatan Puteri UMNO hari ini terletak pada semangat juang dan kesatuan hati anggotanya, yang menjadi benteng perjuangan UMNO sejak dua dekad lalu.
“Tanpa kalian, Puteri UMNO tidak akan mampu bertahan hingga ke hari ini. Saya doakan Puteri UMNO terus wujud hingga ke generasi anak cucu cicit kita kelak, memperjuangkan panji putih dan merah jambu ini sehingga ke akhir hayat,” tambahnya lagi.
Shamellya seterusnya menyeru agar semua ahli Puteri UMNO terus teguh berdiri, sama ada mereka memegang jawatan atau tidak, kerana setiap daripada mereka memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelangsungan parti.
“Kekal bersatu dengan warna pink dan putih. Kekal setia dengan panji perjuangan. Kekal berkhidmat di mana pun kita berada,” katanya penuh semangat. – UMNO Online