Pembangunan Bersama Malaysia – Indonesia Di Laut Sulawesi Masih Di Peringkat Awal – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Cadangan pembangunan bersama (Joint Development) antara Malaysia dan Indonesia di Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan lagi.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan tersebut adalah sebahagian daripada wilayah maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru 1979 dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 yang memberikan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia.

“Ini merupakan usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin dalam mencari penyelesaian terbaik. Sebarang keputusan yang diambil perlulah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Rujukan yang lebih tepat adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’ seperti yang disebut oleh Indonesia.

“Keputusan tersebut, yang memberi kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia, mengabsahkan hak kawasan maritim negara yang diunjurkan dari kedua-dua pulau berkenaan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan penjelasan terperinci mengenai cadangan Joint Development dengan Indonesia di blok ND 6 dan ND 7 Ambalat.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan cadangan yang dinyatakan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada 27 Jun lalu masih berada di peringkat pertimbangan awal dan belum dimuktamadkan.

“Kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan bahawa wakil Kerajaan Sabah sentiasa dilibatkan dalam sebarang rundingan dan mesyuarat teknikal berkaitan sempadan maritim, bagi memastikan kedaulatan wilayah itu tidak terjejas.

“Rundingan pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia dilaksanakan menerusi Mesyuarat Teknikal sejak 2005 dan dilaporkan kepada Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala serta Rundingan Tahunan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

“Malaysia komited untuk menyelesaikan pertindihan tuntutan dengan Indonesia secara aman melalui pendekatan diplomatik dan undang-undang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga Ahli Parlimen Rembau rundingan sempadan antara kedua-dua negara telah berjalan sejak sekian lama menerusi platform rasmi yang ditubuhkan khusus untuk tujuan tersebut.

“Rundingan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia telah dijalankan melalui Mesyuarat Teknikal Pembatasan Sempadan Maritim yang ditubuhkan sejak 2005.

“Malaysia komited memuktamadkan sempadan secara aman melalui mekanisme diplomatik, undang-undang dan teknikal sedia ada,” katanya lagi.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Rembau lagi, kerajaan turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus dilibatkan dalam setiap keputusan yang memberi kesan langsung kepada negeri itu.

“Wakil Kerajaan Sabah dilibatkan dalam mesyuarat dan rundingan teknikal. Pandangan Sabah akan terus diambil kira demi memastikan kedaulatan dan hak negara, khususnya Sabah, sentiasa terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79