Azmawi Pertikai Pendekatan DUN Kelantan, Soalan Pembangkang Demi Rakyat
BESUT, 4 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mempersoalkan pendekatan yang diambil oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam menangani soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang.
Menurutnya, pendekatan semasa perlu diubah memandangkan soalan yang diajukan oleh ADUN pembangkang adalah suara rakyat yang mahu penjelasan serta ketelusan daripada kerajaan negeri.
“Saya merasakan pihak DUN perlu ubah pendekatan kerana sudah semestinya soalan-soalan akan ditanya oleh pihak pembangkang. ADUN pembangkang hanya menanyakan soalan-soalan tersebut adalah soalan dari rakyat untuk ‘semak dan imbang’ dalam DUN mahupun kerajaan negeri.
“Mereka tidak perlu takut dengan soalan-soalan yang diberikan oleh kami, hanya kami bertiga saja yang ADUN pembangkang dalam dewan tersebut. Semestinya kami bertiga menanyakan soalan untuk menjadikan ‘perimbang’ didalam DUN.
“Setiap soalan yang dilontarkan oleh kami bertiga hanyalah untuk kebaikan rakyat negeri Kelantan, tidak ada niat untuk memburuk-burukkan negeri dan hanya sekadar teguran dan negeri Kelantan ini maju jauh ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, pendekatan yang lebih terbuka dan profesional perlu diamalkan dalam sidang DUN demi memastikan suara rakyat dapat disampaikan dan diberi perhatian sewajarnya.
Mengulas lanjut kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, tempoh persidangan selama tiga hari sepatutnya digunakan sebaik mungkin, namun sebaliknya berlaku apabila satu-satunya Enakmen yang dijadualkan untuk dibentangkan iaitu Enakmen Keluarga Islam telah ditarik balik.
“Sepatutnya pada hari pertama sidang, Enakmen Keluarga Islam dibentangkan, namun ia ditarik balik. Enakmen itu satu-satunya yang dibawa, dan penarikan tersebut menjadikan sidang kali ini terlalu ringkas.
“Masa yang diberikan itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak tersebut untuk memberikan jawapan soalan-soalan lisan yang ditanyakan oleh ADUN BN dan Amanah,” jelasnya.
Ujarnya, beliau telah mengemukakan enam soalan, namun tiga daripadanya ditolak kerana melanggar Peraturan 26(3), manakala tiga lagi diterima sebagai soalan lisan, dengan satu daripadanya dijawab secara bertulis oleh pihak kerajaan negeri.
Untuk rekod, persidangan DUN Kelantan yang berlangsung tiga hari adalah tempoh paling singkat dalam sejarah negeri itu.
Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan negeri Kelantan dalam membahas isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat. – UMNO Online